Ringgit ditutup rendah

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) – Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen negatif yang dipengaruhi ketegangan geopolitik di antara Iran dan Arab Saudi, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, unit tempatan itu jatuh kepada 4.3450/3530 berbanding 4.2900/2970 pada Khamis.

Pasaran pertukaran asing tempatan ditutup pada Jumaat sempena tahun baharu. Ketegangan yang semakin meningkat di antara kedua-dua negara menyebabkan pelabur memberi tumpuan kepada mata wang kurang berisiko.

‘Kebanyakan mata wang sedang muncul Asia diniagakan lebih rendah pada hari pertama dagangan tahun baharu, menjejaki data kilang China yang mengecewakan,’ kata peniaga itu.

Mata wang tempatan juga susut berbanding mata wang utama lain. Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0513/0582 daripada 3.0367/0423 pada Khamis dan jatuh kepada 6.4171/4298 daripada 6.3604/3716 berbanding pound Britain.

Ringgit juga merosot berbanding yen kepada 3.6510/6580 daripada 3.5637/5698 pada Khamis dan berbanding euro ia jatuh kepada 4.7456/7557 daripada 4.6851/6940 sebelum ini.