Ringgit jatuh ke paras paling rendah

Ringgit jatuh ke paras paling rendah

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Agensi) – Ringgit Malaysia jatuh ke paras paling lemah dalam tempoh dua bulan pada pagi ini, selepas minit mesyuarat Rizab Federal Amerika (Fed) pada April meningkatkan spekulasi bahawa penggubal dasar Amerika akan menaikkan kadar faedah secepat bulan depan.

Teks pertemuan 26-27 April Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed membayangkan para pegawai melihat kadar faedah mungkin dinaikkan pada Jun jika ekonomi negara itu terus bertambah baik.

Ringgit merosot 0.6 peratus ke kadar 4.0725 bagi sedolar Amerika pada 9.34 pagi di Kuala Lumpur, selepas susut nilai ke kadar 4.0763 – paling lemah sejak 21 Mac – menurut harga daripada bank-bank tempatan yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

Ringgit juga lemah berbanding dolar Singapura. Satu Singdollar diniagakan pada kadar 2.9533 ringgit, meningkat 0.38 peratus daripada kadar penutup 2.9421 pada Rabu.