Ringgit jatuh tarik orang tempatan

Ringgit jatuh tarik orang tempatan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, Ogos – Dengan mata wang ringgit Malaysia turun mencecah RM$3.01 berbanding satu ringgit mata wang Brunei, dan kebiasaan orang Brunei untuk turun berhujung minggu di negara jiran, Miri, Sarawak, pastinya ramai yang akan mengambil peluang ini untuk membeli-belah di sana.

Justeru Media Permata mengemukakan soalan-soalan kepada orang ramai yang ditemu bual hari ini bagi mendapatkan pendapat mereka mengenai perkara tersebut.

Awang Damian Ambu, 31 tahun bekerja di salah satu syarikat di sektor swasta berpendapat perkara sebegini sememangnya sesuatu yang semula jadi bagi orang-orang Brunei di sini kerana pemikiran mereka berpendapat bahawa pengunjung akan pergi membeli-belah di mana pertukaran wangnya tinggi dan harga barangan di sana adalah murah berbanding di sini.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai ‘Brunei Salebration’, di mana ia akan mendapat cabaran yang sengit jika pertukaran mata wang Malaysia semakin merosot dan ini akan cuma menarik lebih ramai lagi penduduk di sini untuk berbelanja di luar negara.

Begitu juga dengan Dayang Shaliza Mohammad yang bekerja di salah satu syarikat subkontraktor di bawah industri minyak dan gas berpendapat bahawa pertukaran mata wang yang tinggi ini membolehkan beliau dan ramai lagi penduduk untuk mengambil kesempatan yang ada untuk berbelanja di Miri.

Tetapi bagi pendapat Dayang Erna Herozy, beliau merasakan adalah lebih baik lagi jika penduduk Brunei berbelanja di negara sendiri dan menunjukkan sokongan bagi acara Brunei Salebration itu nanti kerana beliau percaya jika pertukaran mata wang di sana merosot, peniaga-peniaga akan menaikkan harga yang lebih tinggi lagi.

Awang Danial Osman menyentuh perkara ini daripada segi keselamatan, beliau juga percaya ramai akan turun ke Miri untuk berbelanja namun mengingatkan untuk menjaga keselamatan mereka kerana penduduk Brunei mudah dijadikan sasaran kes curi.

Dayang Eally Aleeza juga mempunyai pendapat yang sama dengan Awang Danial, menambah lagi dengan nasihat bahawa lebih baik lagi untuk berbelanja apa yang diperlukan daripada berbelanja sewenang-wenangnya.

ARTIKEL YANG SAMA