Ringgit Malaysia akan kembali ke paras sepatutnya

Ringgit Malaysia akan kembali ke paras sepatutnya

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yakin usaha kerajaan untuk memantapkan ekonomi dan kewangan negara akan mengembalikan ringgit ke paras yang sepatutnya.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai paras mata wang negara patut berada dan bila ia sepatutnya berlaku.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab TV3 berkaitan topik ‘Ekonomi Negara’ malam tadi.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai unjuran Rabobank bahawa ringgit akan diniagakan antara RM4.45 dan RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun.

Unjuran itu dengan jangkaan sekiranya China, yang juga ekonomi kedua terbesar dunia mengulangi langkah menurunkan nilai mata wangnya.

“Jangkaan itu mengikut pandangan masing-masing berdasarkan andaian AS akan menaikkan kadar faedahnya dan China menurunkan nilai mata wangnya.

Kita akan terus fokus kepada asas ekonomi dan ringgit akan pulih dan kembali ke paras sepatutnya,” katanya.

Ringgit susut 0.4 peratus, disebut harga pada 4.1770/1860 berbanding dolar AS pada Selasa, berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA