Ringgit mula mengukuh

Ringgit mula mengukuh

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) – Ringgit yang mula mengukuh tahun ini dan mencapai tahap tertinggi 3.8650 berbanding dolar Amerika pada 14 April, telah menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di rantau ini, kata Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peningkatan sebanyak 11 peratus itu dicatat sejak akhir 2015.

Najib berkata harga komoditi terutama minyak mentah juga diunjurkan meningkat dengan purata harga minyak mentah Brent, West Texas Intermediate (WTI) dan Dubai Fateh dijangka melebihi AS$40.99 setong pada akhir 2017 (2016: AS$34.75 setong).

“Secara tidak langsung, pemulihan ini dijangka memberi kesan positif kepada pergerakan mata wang ringgit memandangkan pergerakan ringgit mengikut trend harga minyak mentah dunia. “Hasil kerajaan daripada sumber minyak dijangka bertambah dan seterusnya akan mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Najib berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Senator Datuk Mariany Mohammad Yit yang ingin tahu unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada 2016 dan prospek pemulihan ekonomi global yang menentukan kelestarian pembangunan ekonomi Malaysia pada 2017.

Perdana Menteri berkata ekonomi Malaysia dianggar berkembang pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus pada tahun ini dengan mengambil kira faktor landskap ekonomi dan kewangan yang lebih mencabar.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen Kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen Kelmarin. – Bernama

Pada tahun ini, permintaan dalam negeri diunjurkan berkembang 4.3 peratus dan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta, kata Najib. Katanya, sektor luaran pula dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan melalui kepelbagaian eksport sejajar dengan permintaan luar negeri yang sederhana.

Eksport dijangka meningkat 3.2 peratus pada tahun ini berbanding 0.7 peratus tahun lepas, manakala import dijangka terus berkembang pada kadar 3.4 peratus berbanding 1.3 peratus pada 2015, kata beliau. Najib menjelaskan unjuran perkembangan ekonomi Malaysia pada tahun ini telah mengambil kira faktor pemulihan ekonomi global yang dijangka masih perlahan.

“Kelembapan ekonomi dunia terutama China, penyederhanaan harga komoditi dunia berikutan lebihan penawaran dan ketidaktentuan pasaran kewangan akan menjadi faktor penyumbang kelembapan ekonomi Malaysia,” kata Najib.

Bagi tahun 2017, Najib berkata pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan berkembang lebih baik selaras dengan pemulihan ekonomi global. Menurutnya, berdasarkan laporan Prospek Ekonomi Dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada bulan ini, ekonomi dunia dianggarkan berkembang pada kadar lebih tinggi iaitu 3.5 peratus pada 2017 berbanding 3.2 peratus pada 2016. Perdagangan dunia pula dijangka lebih rancak pada tahun depan dengan peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding 3.1 peratus tahun ini, kata Najib.