Ringgit mula stabil pada akhir suku ke-4 2016

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Ringgit, bersama-sama dengan mata wang serantau lain, mulai stabil menjelang akhir suku keempat 2016 apabila pasaran kewangan global semakin stabil, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

“Pelaksanaan langkah-langkah untuk membangunkan, memperkukuhkan dan menangani ketidakseimbangan yang semakin ketara dalam pasaran pertukaran asing domestik, dan kenaikan harga minyak mentah dunia, menjadikan pasaran pertukaran asing domestik lebih stabil menjelang akhir suku tersebut,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini yang mengumumkan perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia pada suku keempat 2016.

BNM mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus pada suku akhir 2016, disokong oleh pengembangan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta, yang membawa kepada pertumbuhan tahun penuh sebanyak 4.2 peratus.

Bank pusat berkata ringgit juga berdepan pelarasan tambahan semasa suku tersebut susulan aktiviti spekulatif dalam pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF).

Terdahulu dalam suku tersebut, ringgit dan semua mata wang utama dan serantau menyusut nilai berbanding dolar AS, didorong terutamanya oleh alirankeluar pelaburan portfolio daripada ekonomi sedang pesat membangun dalam keadaan ketidakpastian yang berbangkit daripada keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Jangkaan kadar faedah akan meningkat, kenaikan sebenar dalam kadar dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Disember 2016, serta jangkaan kadar faedah ASakan kembali ke paras wajar dalam tempoh yang lebih cepat pada 2017 memburukkan lagi aliran keluar portfolio dan terus menambah tekanan terhadap kebanyakan mata wang utama dan serantau, kata BNM.

Keseluruhannya, ringgit menyusut nilai sebanyak 7.6 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2016.

Ringgit juga turun berbanding euro (-1.6 peratus), pound sterling (-2.4 peratus) dan dolar Australia (-2.5 per cent), tetapi meningkat berbanding yen Jepun (6.3 peratus). – Bernama