Ringgit sepatutnya 3.70 berbanding dolar AS

Ringgit sepatutnya 3.70 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ringgit sepatutnya didagangkan sekitar 3.70 berbanding dolar Amerika Syarikat berdasarkan asas-asas semasa namun sentimen pelabur menggeluncurkan mata wang tempatan melangkaui paras itu, menurut Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

Menurutnya, penganalisis bank menjangka berdasarkan wajaran dagangan baru-baru ini, pergerakan ringgit sepatutnya berlegar pada paras 3.70 (untuk satu dolar AS).

“Jika pakar ekonomi kita betul, wujud pengurangan nilai sekitar 10 peratus yang berkemungkinan disebabkan oleh sentimen,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Majalah The Economist Asia Tenggara, di sini hari ini.

Pada 9.30 pagi tadi, ringgit disebut harga pada 4.0980/1030 berbanding 4.1040/1090 ketika ditutup semalam.

Nazir berkata seperti krisis ekonomi lain, adalah amat penting situasi itu diselidik dengan sebaik-baiknya agar ia dapat ditangani dengan dasar yang betul.

Para pelancong asing menggunakan telefon pintar mereka di depan pengurup wang di KLIA 2 di Sepang pada 20 Ogos 2015. – AFP
Para pelancong asing menggunakan telefon pintar mereka di depan pengurup wang di KLIA 2 di Sepang pada 20 Ogos 2015. – AFP

“Saya gembira Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Kewangan melibatkan masyarakat, terutama penganalisis dan ahli perniagaan, bagi mendapatkan pandangan mereka tentang situasi ekonomi,” katanya.

Katanya dengan cara itu, Perdana Menteri dan kementerian akan mendapatpandangan lebih baik tentang situasi, membuat penilaian yang tepat dan mengambil langkah yang betul.

Pada 13 Ogos lalu, Najib menerusi blognya, memberi empat sebab kelembapan ringgit iaitu spekulasi politik berlebihan; pengurangan nilai ringgit; jangkaan kenaikan kadar faedah oleh AS; dan kejatuhan harga komoditi.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menguruskan situasi itu bagi menstabilkan ekonomi negara.

Sidang kemuncak itu yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN, menyemak perjalanan rantau ini untuk menjadi sebuah komuniti ekonomi menjelang akhir tahun ini. – Bernama