Rio bimbang Metro Line gagal siap

Rio bimbang Metro Line gagal siap

RIO DE JANEIRO, 23 Feb (Reuters) – Rangkaian tambahan sistem kereta api Metro Line yang menghubungkan Rio de Janeiro Olympic Park di Barra de Tijuca dengan seluruh bandar berdepan risiko tidak dapat disiapkan sebelum temasya Sukan Olimpik bermula Ogos depan.

Kerja pembinaan rel berkenaan berdepan kelewatan jika pembayaran pinjaman yang tertangguh daripada bank pembangunan tidak dibayar, kata dua sumber daripada pegawai kanan kerajaan, sebentar tadi.

Sistem pengangkutan Metro Line itu menjadi kunci utama terhadap kejayaan Rio dipilih bagi menjadi penganjur dari benua Amerika Selatan yang pertama menganjurkan Sukan Olimpik.

Ia juga nadi pengangkutan utama warga Rio selain tarikan utama pelancong dari Copacabana dan Ipanema yang menjadi venue bagi acara renang, bola keranjang dan tenis.

“Ada risiko kerja-kerja itu tidak dapat disiapkan tetapi masih ada masa untuk mengubahnya,” kata sumber daripada pegawai kanan kerajaan. Masalah timbul apabila pinjaman sebanyak AS$350 juta daripada bank pembangunan BNDES yang perlu dibayar oleh kerajaan persekutuan.

pg22_160224_c

Pembayaran itu sepatutnya dilunaskan tahun lalu tetapi sehingga sekarang masih belum dijelaskan.

Sabtu lalu, akhbar harian Brazil, O Globo melaporkan mereka ada melihat emel yang dihantar oleh Datuk Bandar Rio, Eduardo Paes kepada jawatankuasa penganjur tempatan apabila berkata ada risiko besar sistem pengangkutan itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menafikan perkara itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan selepas laporan itu tersiar dan berkata projek berkenaan sudah siap 90 peratus dan hanya terowong sepanjang 200 meter masih dalam kerja-kerja menggali. Sebagai langkah berjaga-jaga, sumber berkata ‘Pelan B’ sudah dikemukakan dengan menggunakan bas bagi laluan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA