Risikan kenal pasti individu bocor maklumat pencerobohan di Sabah

Risikan kenal pasti individu bocor maklumat pencerobohan di Sabah

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melakukan risikan jika terdapat individu dalam agensi-agensi penguatkuasaan yang membocorkan maklumat sehingga berlaku pencerobohan di perairan Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan akan diambil terhadap pihak yang terlibat. Menurutnya KDN sentiasa prihatin terhadap isu kedaulatan dan keselamatan negara, meskipun terdapat beberapa kekangan.

“Terdapat beberapa kekangan biarpun kita ada aset, anggota dan juga sistem maklumat tertentu. Tetapi sebagaimana yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) katakan, ada kemungkinan berlaku kebocoran maklumat,” katanya menjawab soalan tambahan M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran ingin tahu kenapa masih berlaku pencerobohan di perairan Sabah meskipun pelbagai langkah telah dilaksanakan.

Sesi MQT itu diadakan buat pertama kali pada persidangan Dewan Rakyat, dan diadakan setiap Selasa dan Khamis sebelum bermula sesi soal jawab selama 30 minit.

Ahmad Zahid berkata pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk menjaga keselamatan negara, termasuk menubuhkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) yang merangkumi gabungan pelbagai jabatan antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Selain itu, katanya kerjasama dengan beberapa negara termasuk negara jiran turut diadakan dengan langkah yang diambil antaranya mendirikan pagar di kawasan sempadan negara, bertukar maklumat dalam kalangan negara ASEAN, selain menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom). – Bernama