Risiko memakai pendakap gigi palsu

Risiko memakai pendakap gigi palsu

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Lebih 200 orang pelajar Tahun 8 Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), hari ini, telah menghadiri ceramah mengenai dengan kesan-kesan dan risiko memakai pendakap gigi (braces) palsu. Ceramah yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan juga dihadiri oleh pelajar Tahun 7 dan 11 yang memakai pendakap gigi.

Dr. Wizziyiannie semasa menyampaikan ceramah mengenai kesan dan risiko pendakap gigi palsu.
Dr. Wizziyiannie semasa menyampaikan ceramah mengenai kesan dan risiko pendakap gigi palsu.

Turut hadir ialah pengetua sekolah berkenaan, Hajah Susilawati binti Dato Paduka Haji Muhammad; Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Haji Ismail bin Haji Ibrahim; Kaunselor Sekolah, Dayang Nur Syazilah binti Lim Abdullah dan guru-guru.

Ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Kanan Perubatan dari Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan, Dr. Wizziyiannie binti Ahmad @ Mohd Ariffin, antara lain menyentuh mengenai risiko penggunaan pendakap gigi palsu kepada para pengguna dan maklumat tertentu yang perlu diketahui oleh setiap individu jika melakukan apa jua rawatan pergigian.

Beliau menekankan bahawa jika para pengguna memakai pendakap gigi palsu, mereka akan terdedah kepada bahan kimia toksik dalam jalur getah tersebut dan akan mendatangkan kesan sampingan lain yang mungkin berlaku jika menggunakan pendakap gigi palsu.

Ceramah yang diakhiri dengan sesi soal jawab bersama para pelajar itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan mendedahkan mereka mengenai penggunaan pendakap gigi yang ditetapkan oleh ortodontik professional.

Antara para pelajar yang hadir mendengar taklimat mengenai pendakap gigi palsu.
Antara para pelajar yang hadir mendengar taklimat mengenai pendakap gigi palsu.

ARTIKEL YANG SAMA