Risiko tiroid...

Risiko tiroid meningkat seiring usia

SEMUA orang menghadapi proses penuaan dalam kitaran kehidupan. Ada di antara kita yang melaluinya dengan lebih mudah dan ada pula yang menderita.

Namun adakah benar peningkatan usia juga turut menandakan bahawa anda perlu mengalami pelbagai masalah kesihatan dan belajar untuk hidup dengan keadaan yang tidak selesa.

Apa yang menyedihkan adalah apabila ia mungkin satu kenyataan yang biasanya dialami oleh ramai warga emas. Biarpun telah berusaha sedaya upaya, masih tidak dapat untuk melalui usia tua mereka dengan baik dan sihat.

Kini, semakin ramai yang mempersoalkan mengenai jangka hayat dengan kesihatan yang baik atau dengan pelbagai penyakit.

Walaupun terdapat banyak kemajuan dalam teknologi perubatan, sains pemakanan dan penjagaan kesihatan, masih banyak yang perlu dipelajari mengenai kesihatan warga emas.

Warga emas adalah disarankan untuk melakukan pemeriksaan hipotirodisme memandangkan golongan itu berisiko untuk mendapat penyakit tersebut.
Warga emas adalah disarankan untuk melakukan pemeriksaan hipotirodisme memandangkan golongan itu berisiko untuk mendapat penyakit tersebut.

Terdapat beberapa jenis penyakit dan masalah yang menyebabkan tiroid tidak berfungsi. Dua masalah tiroid paling kerap berlaku adalah hipotiroidisme dan hipertiroidisme.

Hipotiroidisme lazimnya terjadi ketika kelenjar tiroid kurang aktif dan tidak mampu untuk menghasilkan hormon yang mencukupi untuk keperluan tubuh.

Masalah ini kadangkala disebabkan oleh kecacatan sejak kecil, pembedahan kelenjar tiroid atau benjolan.

Hipertiroidisme pula berlaku disebabkan oleh kelenjar tiroid terlalu aktif dan menghasilkan hormon melebihi daripada apa yang diperlukan oleh tubuh.

Penyebab paling biasa hipertiroidisme adalah benjolan, pengambilan sodium berlebihan serta penyakit autoimun.

Hipotiroidisme sukar dikesan

Perubahan berlaku di dalam semua sistem tubuh termasuklah sistem endokrin, apabila kita meningkat usia.

Walaubagaimanapun apabila tiroid, sejenis kelenjar berbentuk rama-rama di pangkal leher tidak diberikan perhatian, seseorang warga emas itu boleh mengalami pelbagai masalah. Wanita yang berusia lebih 60 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat hipotiroidisme, sejenis masalah di mana kelenjar tiroid tidak dapat menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi berbanding lelaki.

Oleh itu adalah penting bagi wanita warga emas untuk memahami dan mengenali simptom-simptom hipotiroidisme supaya mereka boleh mendapatkan nasihat perubatan jika perlu.

Hipotiroidisme sukar untuk dikesan kerana kebanyakan simptomnya, terutamanya dalam kes ringan (subklinikal) adalah tidak spesifik.

Simptom-simptom lazim dialami adalah se-perti tidak tahan sejuk, terutama di hujung jari tangan dan kaki, kenaikan berat badan, wajah mengembung, kulit ke-ring, sembelit meskipun cukup pengambilan serat, mental dan fizikal menjadi perlahan, letih dan lesu walaupun cukup istirehat, selalu lupa walaupun sukar untuk memberikan tumpuan, kulit gatal dan kering walaupun kerap menggunakan pelembap, sukar menelan dan kekejangan otot.

Di samping itu, terdapat banyak kes di mana simptom-simptom hipotiroidisme berkembang dengan perlahan dan tidak dapat dikesan sehingga berbulan-bulan malah bertahun-tahun lalu menyukarkan diagnosis perubatan yang dijalankan.

Kewujudan pelbagai penyakit kronik di kalangan warga emas serta kesan sampingan dari ubat-ubatan boleh menyembunyikan simptom-simptom tersebut.

Rawatan perlu dilakukan

Memandangkan kelenjar tiroid adalah penting dalam mengekalkan metabolisme, gangguan dalam penghasilan hormon boleh membawa kesan yang serius.

Jika tidak dirawat, hipotiroidisme boleh melarat dari ringan (subklinikal( hingga ketera di mana ia adalah merupakan peringkat yang teruk.

Hipotiroidisme dikaitkan dengan kenaikan paras kolesterol dan trigliserida dalam darah dan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung iskemik dan kegagalan jantung.

Di samping itu, ia juga mungkin menyebabkan kelemahan otot secara menyeluruh yang membawa kepada masalah otot, rangka dan pergerakan di kalangan warga emas.

Selain itu, hipotiroidisme juga berkemungkinan untuk menyebabkan memori menjadi lemah dan percakapan serta pemikiran menjadi perlahan.

Malah, masalah tiroid telah lama dikenal pasti sebagai penyebab kepada gangguan kognitif yang boleh dipulihkan walaupun ia meningkatkan lagi risiko seseorang wanita itu untuk mendapat penyakit Alzheimer.

Justeru, adalah penting bagi warga emas untuk menjalani pemeriksaan hipotiroidisme melalui ujian darah yang ringkas di mana-mana klinik atau hospital.

Diagnosis dan rawatan awal adalah sangat pen-ting kerana masalah tiroid sering dikaitkan dengan jumlah penyakit dan kematian yang lebih tinggi di kalangan warga emas.

Rawatannya juga mudah dan kosnya tidak begitu tinggi. Anda mungkin diberikan pil tiroksin, sejenis hormon tiroid sintetik yang membantu anda untuk berasa lebih baik.

Walaupun tidak boleh mengelak dari meningkat usia, ketahuilah bahawa dengan gaya hidup yang sihat dan pemeriksaan kesihatan yang tetap, anda boleh mengekalkan tahap kesihatan yang baik.