River Plate angkul Trofi Libertadores

River Plate angkul Trofi Libertadores

BUENOS AIRES, 6 Ogos – Kelab gergasi Argentina, River Plate menjuarai trofi ketiga saingan berprestij bola sepak benua Amerika Selatan, Copa Libertadores selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas kelab Mexico, Tigres, hari ini.

Gol River dijaringkan Lucas Alario, Carlos Sanchez dan Ramiro Funes Mori sekali gus turut mencatat kemenangan 3-0 secara agregat selepas perlawanan timbal balik pertama di Mexico berakhir tanpa jaringan.

Kemenangan melengkapkan kebangkitan penuh dramatik buat River yang dianggap antara kelab Amerika Selatan paling popular. Empat tahun lalu, River dimalukan apabila tersingkir daripada liga utama Argentina.

Kebangkitan kelab yang banyak melahirkan beberapa bintang dunia itu disebabkan kehadiran semula bekas bintangnya, Marcelo Gallardo yang turut menjuarai gelaran Libertadores pada 1996 selaku pengurus.

Pemain River Plate meraikan kejayaan menggondol Copa Libertadores selepas menewaskan Tigres di Buenos Aires semalam. – AFP
Pemain River Plate meraikan kejayaan menggondol Copa Libertadores selepas menewaskan Tigres di Buenos Aires semalam. – AFP

“Selepas 19 tahun, kami layak untuk mencatat kemenangan ini,” kata Gallardo.

“Skuad ini banyak berkorban. Setahun lalu, kami mula mencari cabaran dan ini adalah cabaran. Ia bukan mudah, kami menghadapi pelbagai rintangan.”

Kelab Mexico, Tigres pula memburu trofi pertama Libertadores dengan tiada kelab dari negara terbabit pernah memenangi kejuaraan sama sebelum ini.

River sebelum ini menjulang trofi sama pada 1996 dan 1986. – AFP