Rizab antarabangsa BNM RM405 bilion pada 30 Sept

Rizab antarabangsa BNM RM405 bilion pada 30 Sept

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM405 bilion (bersamaan AS$97.7 bilion) pada 30 September 2016 berbanding RM392.5 bilion (AS$97.7 bilion) pada 15 September lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata peningkatan rizab dalam nilai ringgit terutamanya disebabkan oleh pelarasan suku tahunan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan nilai mata wang lain berbanding ringgit pada suku ketiga tahun ini.

“Paras rizab ini memadai bagi membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek,” katanya.

Komponen utama rizab antarabangsa itu adalah rizab tukaran asing (AS$89.7 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$0.8 bilion), Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.2 bilion), emas (AS$1.5 bilion) dan aset rizab lain-lain (AS$4.5 bi-lion).

Aset bank pusat itu termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR (RM404.977 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM1.643 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.162 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.657 bilion), tanah dan bangunan (RM2.114 bilion) serta aset-aset lain (RM5.678 bilion). – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA