RM merosot ke paras terendah

RM merosot ke paras terendah

pg01_150707_c

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ringgit Malaysia (RM) jatuh ke paras terendah dalam tempoh 16 tahun hari ini berikutan peningkatan kebimbangan ketidakpastian politik selepas dakwaan bahawa satu siasatan ke atas dana pelaburan kerajaan mendapati ratusan juta dolar telah dipindahkan ke akaun peribadi perdana menteri.

RM susut 0.8 peratus kepada 3.8088 berbanding dolar Amerika di Kuala Lumpur, yang terendah sejak Mei 1999.

Manakala berbanding dolar Singapura, ia susut kepada 2.8184 hari ini. Matawang Malaysia telah ditetapkan pada kadar 3.8 berbanding dolar AS pada 1998 semasa krisis ekonomi Asia setelah ia mengalami kejatuhan sebanyak 35 peratus pada tahun berkenaan. Penetapan itu bagaimanapun ditarik balik pada 2005. Sementara itu, pasaran saham Malaysia juga susut 1.3 peratus, seiring dengan pasaran-pasaran saham serantau yang terjejas oleh kemelut perundingan hutang Greece.

Akhbar The Wall Street Journal melaporkan pada Jumaat lalu bahawa penyiasat kerajaan telah mendedahkan hampir AS$700 juta yang dipindahkan daripada agansi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat berkaitan dengan dana pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan itu berkata, wang tersebut telah berakhir ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB yang dilancarkan pada 2009. – AFP