RM1.5 bilion bagi projek pelancongan Labuan

RM1.5 bilion bagi projek pelancongan Labuan

LABUAN, 8 Feb – Labuan dijangka akan menjadi hab pelancongan apabila pelabur swasta bercadang membiayai projek pelancongan bersepadu bernilai RM1.5 bilion termasuk membina beberapa hotel, kedai bebas cukai untuk barangan berjenama dan sebuah taman tema air bernilai RM300 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketika mendedahkan perkara itu, berkata pihak pelabur itu juga bercadang untuk membiayai kos pembinaan sebuah terminal feri baharu sama ada di Tanjung Aru atau di Kampung Kerupang.

Bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Labuan Walk di sini, beliau berkata berikutan dengan perkembangan itu, peruntukan RM200 juta yang diluluskan untuk projek terminal feri itu kini akan dipindahkan untuk projek jalan pesisir pantai di pulau itu.

“Saya telah berbincang dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan mengenai peruntukan dana tersebut memandangkan pihak swasta akan menggunakan dana sendiri untuk projek terminal feri itu,” katanya.

Beliau berkata Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sedang dijalankan untuk cadangan projek terminal feri itu dan projek pembinaannya akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan.

Pulau Labuan yang berupaya untuk menarik pelancong dari luar negara.
Pulau Labuan yang berupaya untuk menarik pelancong dari luar negara.

Tengku Adnan berkata sementara menunggu siapnya terminal feri baharu itu, projek pelebaran tanjakan pendaratan feri di Jeti Menumbok di sini akan dilaksanakan dengan kos RM5 juta bagi membolehkan dua buah feri mendarat pada satu-satu masa.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk membangunkan sektor pelancongan di pulau bebas cukai ini, katanya, projek taman tema air oleh pihak swasta akan dimulakan sebaik sahaja menerima laporan EIA di lokasi cadangan hampir dengan terminal feri baharu itu.

Menurutnya, pelabur berkenaan akan memulakan usaha mempromosikan taman tema air itu untuk pelancong asing khusus dari China bagi memastikan pelabur berkenaan mampu memperoleh semula nilai pelaburan mereka.

Kerajaan telah meluluskan tanah untuk cadangan projek tersebut, katanya. – Bernama