RM1 juta sasaran eksport durian

RM1 juta sasaran eksport durian

GEORGE TOWN, 21 Jun (Bernama) – Balik Pulau 77 Durian Hill Sdn Bhd, pemilik dusun durian Pulau Pinang, menyasarkan untuk mencapai perolehan RM1 juta sebaik durian sejuk bekunya dieksport ke China pada tahun depan.

Durian sejuk beku yang dibungkus, boleh mengekalkan kesegarannya selama kira-kira setahun, dan sesuai untuk dieksport ke pasaran asing, kata Pengarah Tang Boon Ley.

“Kami ketika ini bekerjasama rapat dengan Jabatan Perhutanan dan agensi kerajaan lain bagi membolehkan kami mendapat lesen untuk mengeksport durian ke China,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di dusunnya di Gertak Sanggul.

Tang berkata sekumpulan ahli perniagaan dari China telah melawat dusun beliau baru-baru ini untuk melihat hasil durian semasa musimnya.

“Kami sedang berunding dengan sebuah syarikat China dikenali sebagai Durian Legend yang akan menjual durian kami di China sebaik kami mendapat lesen untuk eksport,” katanya.

Tang Boon Ley mengumpulkan buah durian yang telah gugur di dusunnya di Gertak Sanggul. – Bernama
Tang Boon Ley mengumpulkan buah durian yang telah gugur di dusunnya di Gertak Sanggul. – Bernama

Beliau berkata durian Musang King, Ang Heah, Hor Lor, 604 dan D11 merupakan durian yang mendapat permintaan tinggi di China terutamanya di Xiamen, ibu kota wilayah Fujian.

“Kami menguruskan beberapa dusun di Pulau Pinang termasuk di Gertak Sanggul, Balik Pulau dan Sungai Ara, dan semuanya didaftarkan sebagai entiti berasingan,” katanya.

Beliau berkata disebabkan durian mendapat permintaan tinggi di Xiamen, kumpulan itu mungkin perlu mendapatkan lebih banyak durian dari dusun lain pada tahun depan untuk eksport.

Tang berkata kumpulan itu mengeluarkan kira-kira 12 tan durian setahun dari tiga buah dusun semasa musimnya yang biasanya dari Mei hingga Julai.

Beliau juga berkata kumpulan itu sedang melaksanakan penanaman semula di tiga buah dusunnya dalam usaha menghasilkan durian berkualiti untuk eksport.