RM100 juta baiki kerosakan

RM100 juta baiki kerosakan

RANAU, 6 Julai (Bernama) – Anggaran lebih RM100 juta diperlukan bagi kos keseluruhan membaiki kerosakan bangunan dan infrastruktur di Sabah yang terjejas akibat gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter dan banjir lumpur pada Jun lepas, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata kos itu bagi membaiki kira-kira 61 bangunan, jalan raya, jambatan dan cerun yang rosak berikutan kejadian bencana alam yang melanda negeri ini khususnya di Ranau, Kundasang dan Kota Belud.

Fadillah berkata kira-kira RM55 juta daripada anggaran kos itu digunakan bagi membaiki, membina dan mengukuhkan semula lima bangunan yang mengalami kerosakan kritikal iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau, Masjid Daerah Ranau, Hospital Ranau dan Sekolah Agama Mohamad Ali.

Kos bagi kelima-lima bangunan itu masing-masing berjumlah RM15 juta (IPD), RM12 juta (SMK Ranau), RM12 juta (Masjid Daerah Ranau), RM10 juta (Hospital Ranau) dan RM6 juta bagi Sekolah Agama Mohamad Ali.

“Kerja-kerja pembaikan semula bangunan dan jalan raya mengalami kerosakan minimum juga sedang dijalankan dan peruntukan sudah disalurkan. Cuma, lima bangunan kritikal ini ada yang perlu dirobohkan dan dibina semula.

Siling Masjid Daerah Ranau rosak akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada Jun lalu, dan kerosakan infrastruktur dan aset awam ditaksirkan bernilai RM94.8 juta, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang. – Bernama
Siling Masjid Daerah Ranau rosak akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada Jun lalu, dan kerosakan infrastruktur dan aset awam ditaksirkan bernilai RM94.8 juta, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang. – Bernama

“Ini akan mengambil masa sedikit disebabkan peruntukan serta kerja-kerja berat yang terpaksa dilakukan,” katanya selepas meninjau bangunan IPD Ranau di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata satu kajian sedang dijalankan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi mengenal pasti kawasan kritikal dan berisiko tinggi di landa gempa bumi khususnya di Ranau serta daerah berhampiran.

Beliau berkata kajian itu antara lain bagi melihat sama ada wujud keperluan mengeluarkan dasar atau garis panduan yang menetapkan setiap bangunan dibina di kawasan terbabit perlu mematuhi standard yang dikenali sebagai ‘Euro Codes’.

“Ini bermakna setiap bangunan mesti mampu menahan gegaran sehingga 8 skala Richter. Bagaimanapun, kos pembinaan akan lebih mahal iaitu penambahan kira-kira 30 peratus,” katanya.

Menurut Fadillah, kajian yang dikendalikan pakar tempatan dan luar negara itu akan mengemukakan cadangan berkaitan kepada kerajaan sebelum ia ditetapkan sebagai dasar negara.

Terdahulu, Fadillah mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah di Kompleks Pentadbiran Persekutuan, sebelum melawat IPD Ranau dan kemudiannya meninjau keadaan semasa di jambatan Jalan Golf Course Mesilou.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.