RM10,600 untuk mangsa banjir di Sabah

RM10,600 untuk mangsa banjir di Sabah

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Rombongan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), baru-baru ini, telah pergi ke Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia bagi menyerahkan sumbangan hasil kutipan Tabung Bantuan Kemanusiaan Bencana Mangsa Banjir berjumlah RM10,600, untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Daerah Beaufort, Negeri Sabah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, tabung berkenaan ditubuhkan dengan hasrat untuk membantu dan mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh ribuan mangsa musibah bencana banjir besar yang telah melanda negeri-negeri di Malaysia pada penghujung bulan Disember lalu.

Kutipan wang adalah daripada kalangan ahli-ahli pengakap serta keluarga mereka yang sangat prihatin dengan mangsa banjir, dan ia telah dijalankan selama dua bulan untuk disumbangkan kepada mangsa yang teruk terjejas.

Rombongan PPNBD ke Kota Kinabalu pada 1 Mei lalu itu telah diketuai Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali, Pesuruhjaya Antarabangsa, Awang Abdul Manan bin Haji Abdul Latip, Setiausaha Agung, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keagamaan, Haji Othman bin Durani, Ketua Pegawai Eksekutif Pengakap, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad dan Pegawai Eksekutif Pengakap, Awang Zainudin bin Haji Ishak,.

Sumbangan telah disampaikan oleh Haji Awang Badar kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia selaku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Datuk Dr. Awang Zaini bin Haji Suntim di Arena Belia, Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia semasa majlis penutup Bengkel Asas Pengurusan Risiko, Persekutuan Pengakap Malaysia.

Haji Badar menyampaikan sumbangan bantuan kepada Datuk Dr. Awang Zaini.
Haji Badar menyampaikan sumbangan bantuan kepada Datuk Dr. Awang Zaini.

pg06_150504_a

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan itu ialah penolong-penolong ketua pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah dan pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap kawasan Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Negeri Sabah serta peserta bengkel.

Persekutuan Pengakap Malaysia merupakan salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia dalam menangani bencana musibah banjir.

PPNBD berharap dengan adanya sumbangan itu, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan kehidupan mangsa banjir yang terjejas di Daerah Beaufort.

Terdahulu daripada itu, pada 25 Januari yang lalu, PPNBD telah berjaya menghantar bantuan berbentuk bahan makanan dan minuman kepada mangsa-mangsa bencana banjir di Daerah Limbang, Sarawak dan pada 9 Mac telah menyerahkan bantuan kewangan kepada lima buah negeri iaitu Negeri Kelantan Darul Naim, Negeri Terengganu Darul Iman, Negeri Pahang Darul Makmur, Negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Johor Darul Takzim di Malaysia Barat.

ARTIKEL YANG SAMA