RM2.13b diperoleh melalui INSP

RM2.13b diperoleh melalui INSP

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Malaysia mencatat nilai jualan RM2.13 bilion daripada Januari hingga Oktober 2015 melalui pemadanan perniagaan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) walaupun wujudnya ketidaktentuan global.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini berikutan lebih banyak misi pemasaran dan pameran perdagangan khusus yang dianjurkan tahun ini.

Menurutnya, data menunjukkan prospek ekonomi Malaysia pada 2016 akan kekal stabil.

“Kita berharap eksport kita tidak akan terjejas tahun depan walaupun kelembapan ekonomi China dan di mana kejatuhan yuan mempunyai sedikit kesan negatif kepada ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatannya ke Pusat Pameran Eksport Malaysia (MEC) di Menara Matrade di sini, Rabu.

Pada 2014, INSP yang sebelum ini dikenali sebagai Misi Belian Akan Datang, mencatat RM5.77 bilion untuk tempoh yang sama disumbangkan oleh minyak dan gas serta acara bahan bangunan.

Ahmad berkata, cabaran dalam eksport juga bergantung kepada komponen yang diguna untuk menghasilkan produk, yang boleh meningkatkan kos pengeluaran.

Menurutnya, usahawan Bumiputera perlu meningkatkan diri mereka dalam perniagaan eksport kerana mereka hanya berada pada 30 peratus.

“Pada 2016, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan 150 program, merangkumi 85 aktiviti promosi dan perdagangan serta 65 aktiviti pembangunan eksport, berbanding 115 program pada 2015.

“Fokus kita ialah e-dagang kerana terdapat potensi besar untuk perniagaan dalam talian berikutan peningkatan penggunaan peranti mudah alih serta pengaruh mendalam media sosial ke atas rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Pengurusan, Wan Latif Wan Musa berkata, sehingga Disember 2015, lebih 6,200 pelawat daripada delegasi antarabangsa dan individu melawat MEEC yang memaparkan 500 pempamer dengan lebih 5,000 produk dan perkhidmatan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA