RM2.5b tingkat infrastruktur digital Sarawak

RM2.5b tingkat infrastruktur digital Sarawak

BINTULU, 30 Okt (Bernama) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah membelanjakan RM2.5 bilion bagi meningkatkan infrastruktur serta merapatkan jurang digital di Sarawak.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, setakat ini SKMM telah berjaya membina 90 Pusat Internet 1Malaysia, 660 wifi komuniti dan 1,237 kilometer sambungan jalur lebar di bawah inisiatif Jalur Lebar Untuk Masyarakat Umum (BBGP) di negeri ini.

“Sehingga September 2015, SKMM membina 993 menara telekomunikasi, 282 kilometer rangkaian fiber optik, 597 pusat Internet 1Malaysia dan 4,712 wifi komuniti (hotspot) di seluruh negara,” katanya pada perasmian Konvensyen Komuniti 1Malaysia Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini. Konvensyen yang berlangsung di Dewan Suarah Bintulu itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Jailani berkata, kerajaan kini mengalakkan penglibatan usahawan yang celik internet bagi meningkatkan taraf hidup dan telah memperuntukkan RM100 juta dalam inisiatif e-rezeki serta e-usahawan.

Beliau berkata, peranan komuniti 1Malaysia kini semakin penting dalam membantu kerajaan menyebar maklumat pelbagai inisiatif dan insentif disediakan oleh kerajaan persekutuan dalam meningkatkan lagi tahap hidup rakyat dalam negara ini.

“Di Sarawak terdapat 235 buah komuniti 1Malaysia, harapan saya dapat sentiasa menyebarluas maklumat kepada masyarakat bagi merealisasikan program transformasi,” kata Jailani.

Jabu dalam ucapannya berkata, komuniti 1Malaysia boleh memainkan peranan dengan memaklumkan usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan beban rakyat antaranya pemansuhan tol Jambatan Lanang di Sibu, Jambatan ASEAN di Miri dan mengurangkan tambang feri luar bandar kepada hanya RM1.

“Kerajaan juga telah merancakkan perkembangan ekonomi rakyat dengan pembinaan jambatan baharu antaranya Jambatan Samarahan, Jambatan Bako, Jambatan Long Lama dan Jambatan Limbang,”katanya.

Jabu berkata, turut perlu disebar luas adalah kegiatan membanteras pembalakan haram supaya orang awam dapat membantu dengan memberi maklumat mengenai kegiatan tersebut di kawasan mereka.