RM2.9 bilion perjanjian di DSA 2016

RM2.9 bilion perjanjian di DSA 2016

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) – Sebanyak 24 kontrak dan perjanjian bernilai RM2.9 bilion dimeterai pada hari kedua Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Ke-15.

Pemeteraian 10 kontrak, empat surat penerimaan (LoA), tiga surat hasrat (LoI) dan surat arahan serta tujuh memorandum persefahaman itu disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Dalam tempoh yang tidak pasti seperti sekarang, kita harus berasa bangga kerana kita menandatangani kontrak bernilai RM2.9 bilion.

“Ini membanggakan dan kerajaan masih dalam hala tuju yang betul,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pemeteraian berkenaan di sini, hari ini.

Hishamuddin juga berkata, acara hari ini menunjukkan kerajaan tidak akan berkompromi mengenai keselamatan dan pertahanan negara.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua,kiri) melihat replika helikopter dari syarikat Finmeccanica di ruang pameran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 pada perasmian pameran itu di Pusat Dagangan Dunia Putra. – Bernama
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua,kiri) melihat replika helikopter dari syarikat Finmeccanica di ruang pameran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 pada perasmian pameran itu di Pusat Dagangan Dunia Putra. – Bernama

Antara kontrak ditandangani ialah pembekalan dan penyerahan 222 unit trak kargo GS tiga tan metrik kepada tentera darat yang ditandatangani di antara kerajaan dan DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd.

Ia juga melibatkan baik pulih dua unit kapal selam kelas Perdana Menteri untuk tentera laut yang dimeterai di antara kerajaan dan Boustead DCBS Naval Corporation Sdn Bhd.

Acara itu juga termasuk penyerahan LoI untuk pembekalan, penyerahan dan pentauliahan M109A5 howitzer, ditandatangani di antara kerajaan dan Amerika Syarikat (AS).