RM24 bilion hubungi S’wak menjelang 2030

RM24 bilion hubungi S’wak menjelang 2030

KUCHING, 24 Ogos – Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing mempunyai satu tugas besar dan amat mencabar yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan semua pihak di negeri ini.

Beliau ingin membantu mewujudkan hubungan jalan raya antara semua bandar dan penempatan luar bandar di Sarawak menjelang 2030, sejajar dengan pelan transformasi luar bandar kerajaan.

Bagaimanapun, halangan terbesar yang beliau hadapi ialah dana mencukupi untuk melaksanakan tugas itu.

Beliau berkata kerajaan negeri merancang membina jalan raya sepanjang 4,000 kilometer untuk tujuan tersebut.

“Untuk menjayakannya, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM24 bilion,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini selepas merasmikan forum infrastruktur Bank Pembangunan Malaysia Berhad bagi pihak Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing bergambar dengan para peserta selepas merasmikan forum infrastruktur Bank Pembangunan (BPIF) kelmarin. – Bernama
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing bergambar dengan para peserta selepas merasmikan forum infrastruktur Bank Pembangunan (BPIF) kelmarin. – Bernama

Adenan berkata beliau lega apabila dimaklumkan bahawa bank itu berminat membantu menjayakan rancangan tersebut.

“Sarawak sebuah negeri yang sangat besar iaitu sebesar seluruh semenanjung, tidak termasuk Perlis.

“Tetapi, kami tidak mempunyai perhubungan yang lengkap, terutama kawasan luar bandar yang agak ketinggalan kerana ketiadaan kemudahan perhubungan,” katanya.

Sebagai contoh, kata Masing, di kawasan tertentu di luar bandar, kerajaan negeri memerlukan hingga RM16 juta untuk membina setiap kilometer jalan raya. – Bernama