RM29.2 bilion bajet untuk Sabah, Sarawak

RM29.2 bilion bajet untuk Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) – Sejumlah RM29.2 bilion diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak di bawah Bajet 2016 bagi melaksanakan pelbagai agenda pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini, berkata antara langkah akan dilaksanakan ialah mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar di Sabah, Sarawak dan Labuan pada 2016.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata ini kerana pengangkutan udara merupakan antara mod utama pengangkutan penduduk di wilayah-wilayah itu.

Beliau turut mengumumkan sebanyak RM70 juta akan disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama kerajaan Sabah dan Sarawak bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah panjang dengan had pinjaman RM50,000 untuk setiap unit rumah panjang.

“RM70 juta sebagai subsidi baja padi huma akan disediakan untuk meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, meliputi kawasan seluas 65,000 hektar di Sarawak dan 11,000 hektar di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata sebanyak RM260 juta disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata RM115 juta pula disediakan khusus bagi Program Khas Bumiputera Sabah dan Sarawak, seperti untuk projek Hak Adat Bumiputera yang merangkumi prosedur pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, serta melibatkan kos membina mahkamah adat.

“Bagi projek Hak Adat Bumiputera, RM20 juta daripada jumlah itu untuk pemetaan tanah di Sabah, dan RM30 juta bagi tujuan sama di Sarawak,” katanya.

Perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pedalaman Sabah dan Sarawak, serta pembelian bot dan kenderaan baharu juga akan dipertingkatkan, katanya.

Bagi projek Lebuh raya Pan Borneo, Najib berkata sejumlah RM16.1 bilion akan disediakan untuk Sarawak, manakala RM12.8 bilion bagi Sabah.

Beliau berkata Lebuh raya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090km itu dijangka siap sepenuhnya pada 2021, manakala fasa satu lebuh raya berkenaan di sebelah Sabah sepanjang 706km dari Sindumin ke Tawau, akan bermula tahun depan.

“Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi, Lebuh raya Pan Borneo ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol,” katanya.