RM515 juta perkukuh bekalan elektrik di Sabah

RM515 juta perkukuh bekalan elektrik di Sabah

PENAMPANG, 25 Dis (Bernama) – Kerajaan pusat memperuntukkan sejumlah RM515 juta bagi memperkukuh, sekali gus menambahbaik sistem penghantaran dan penyaluran bekalan elektrik di Sabah, tahun depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada RM2.3 bilion dana yang diluluskan kerajaan pusat bagi tempoh empat tahun sehingga 2019.

“Semua ini akan dapat membantu meningkatkan lagi kualiti penghantaran bekalan elektrik kepada pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Krismas anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini,hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Ongkili berkata kementeriannya akan menetapkan Indeks Prestasi Utama (IPU) kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada tahun depan yang bertujuan memastikan agensi itu meningkatkan prestasi pengagihan bekalan elektrik kepada pelanggan dan mengurangkan gangguan bekalan tenaga. Menurutnya beliau memantau SESB secara dekat kerana ada IPU tahap gangguan elektrik yang perlu diminimumkan.

“Kami menetapkan (untuk mencapai) 300 (minit) Indeks Durasi Purata Gangguan (Saidi) di Sabah bagi tahun depan,” katanya.