RM7.41 bilion ekuiti projek Bandar Malaysia kekal

RM7.41 bilion ekuiti projek Bandar Malaysia kekal

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) – Balasan belian RM7.41 bilion bagi 60 peratus ekuiti dalam projek Bandar Malaysia kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak berubah walau apa juga persetujuan penyelesaian, kata syarikat pelaburan strategik itu.

1MDB berkata balasan belian oleh konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH)-China Railway Engineering Corporation Sdn Bhd (CREC) untuk ekuiti itu akan berbeza-beza, bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua pihak dan kelulusan berhubung pelepasan kos penempatan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) dan sukuk sedia ada.

Ia berkata jika 1MDB dan konsortium bersetuju mengenai kos dan beroleh kelulusan, konsortium akan membayar 60 peratus bahagiannya daripada kos dan balasan belian akan diselaraskan sewajarnya.

“Nilai tanah RM12.35 bilion, ditolak RM1.9 bilion kos penempatan semula PUKL, ditolak kos sukuk sebanyak RM1.63 bilion adalah bersamaan RM8.8 bilion, dan bahagian konsortium adalah 60 peratus daripada jumlah itu, bersamaan RM5.3 bilion,” katanya.

Bagaimanapun, ia berkata jika gagal mendapat persetujuan tentang kos atau gagal beroleh kelulusan, maka balasan belian RM7.41 bilion akan dibayar penuh kepada 1MDB yang masih perlu melunaskan kos.

“Dalam kedua-dua senario berkenaan, balasan belian sebanyak RM7.41 bilion kepada 1MDB tidak berubah.

“Perbezaannya hanya sama ada 1MDB terima bayaran penuh dan kemudian bayar kos atau konsortium bayar bahagiannya dalam kos itu dan bayar baki RM5.3 bilion kepada 1MDB,” katanya.

1MDB juga memberi jaminan kedudukan Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia’s (PPHM), unit milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sebagai kontraktor utama dan lebih 50 subkontraktor bumiputera yang dilantik, akan kekal walau apa juga struktur akhir perjanjian.