RM7 juta untuk projek POH TUDM di Lahad Datu

RM7 juta untuk projek POH TUDM di Lahad Datu

LABUAN, 30 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM7 juta kepada peruntukan asal RM9 juta yang disediakan kerajaan untuk pelaksanaan projek Pangkalan Operasi Hadapan (POH) TUDM di Lahad Datu.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata pada masa ini, TUDM sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan untuk memulakan projek itu.

Beliau berkata POH, iaitu infrastruktur detasmen helikopter yang akan dibina di Lapangan Terbang Lahad Datu, penting untuk membantu mengekalkan keselamatan ruang udara Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

“Pangkalan operasi itu adalah untuk anggota tentera udara bertindak cepat sekiranya berlaku apa-apa kejadian tidak diingini atau isu berkaitan keselamatan di kawasan itu,” katanya selepas menutup Eksesais PARADISE 3/16 TUDM di Pangkalan TUDM Labuan, di sini, hari ini.

Upacara pecah tanah projek itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei lalu.

POH akan berfungsi sebagai pusat transit dan sokongan udara untuk pelbagai helikopter yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia yang berulang-alik antara Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Lapangan Terbang Lahad Datu. – Bernama

Jeneral Tan Sri Roslan Saad (tengah) bercakap dalam satu sidang media selepas majlis selepas penutupan Eksesais PARADISE 3/16 TUDM di Pangkalan TUDM Labuan, kelmarin.  – Bernama
Jeneral Tan Sri Roslan Saad (tengah) bercakap dalam satu sidang media selepas majlis selepas penutupan Eksesais PARADISE 3/16 TUDM di Pangkalan TUDM Labuan, kelmarin. – Bernama