RM92 juta diperuntuk naiktaraf 483 sekolah

RM92 juta diperuntuk naiktaraf 483 sekolah

KUCHING, 11 Dis (Bernama) – Sebanyak 483 sekolah di Sarawak kini berada dalam keadaan daif, dengan 37 daripadanya terletak di kawasan bandar, 238 di luar bandar dan 208 di kawasan pedalaman.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sarawak Rosey Yunus berkata tahun ini kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan RM92 juta khusus bagi kerja-kerja penyenggaraan, ubah suai, dan naik taraf sekolah berkenaan termasuk sokongan pendidikan buat sekolah-sekolah di Sarawak.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Dr Annuar Rapa’ee (BN-Nangka) yang ingin tahu mengenainya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Ketika menjawab soalan Mohammad Razi Sitam (BN-Saribas) pula, Rosey berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, tahun depan 11 sekolah rendah dan 17 sekolah menengah baharu diluluskan pembinaannya di negeri ini.

Menurutnya 24 daripada sekolah itu terletak di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi dan Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata antara Januari dan Oktober lalu, 37,735 meter padu balak dirampas oleh pihak berkuasa negeri kerana diperolehi secara tidak sah oleh pengusahanya.

Menurutnya nilai royalti kayu balak itu dianggar RM2.4 juta.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Yap Hoi Liong (DAP-Dudong) yang ingin tahu perkembangan mengenai usaha membanteras pembalakan haram di Sarawak.