RMB mata wang global

RMB mata wang global

WASHINGTON, 1 Dis (AFP) – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) hari ini mengalu-alukan yuan China ke dalam kumpulan elit mata wang rizab antarabangsa sebagai pengiktirafan kepada peningkatan kuasa Asia itu dalam ekonomi global.

Yuan yang juga dikenali sebagai renminbi (RMB), akan menyertai dolar Amerika Syarikat (AS), euro, yen Jepun dan pound Britain dalam kumpulan elit mata wang IMF yang digunakan sebagai aset rizab antarabangsa.

Pengarah Urusan IMF Christine Lagarde menyifatkan keputusan itu sebagai ‘satu peristiwa penting dalam integrasi ekonomi China ke dalam sistem kewangan global’. “Penerimaan ini juga adalah sebagai pengiktirafan kepada kemajuan yang telah dicapai pihak berkuasa China dalam tahun-tahun yang lalu dalam pembaharuan sistem monetari dan kewangan mereka,” katanya.

Keputusan Lembaga Eksekutif IMF itu memejalkan cita-cita China untuk melihat yuan yang dikawal kerajaan mencapai status global sebagai salah satu mata wang utama dunia bersama Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.

China, ekonomi kedua terbesar di dunia, telah memohon tahun lepas agar yuan ditambah ke dalam bakul Hak Pengeluaran Dana Khas (SDR) IMF.

Orang ramai melihat kadar tukaran wang asing di sebuah premis yang memaparkan poster dolar AS, RMB China dan ringgit Malaysia di Singapura dalam gambar fail 24 Ogos 2015. IMF semalam menerima yuan China ke dalam kumpulan elit mata wang rizab antarabangsa sebagai pengiktirafan kepada peningkatan kuasa China dalam ekonomi global. - Reuters
Orang ramai melihat kadar tukaran wang asing di sebuah premis yang memaparkan poster dolar AS, RMB China dan ringgit Malaysia di Singapura dalam gambar fail 24 Ogos 2015. IMF semalam menerima yuan China ke dalam kumpulan elit mata wang rizab antarabangsa sebagai pengiktirafan kepada peningkatan kuasa China dalam ekonomi global. – Reuters

Memandangkan yuan sudah memenuhi kriteria SDR dan digunakan secara meluas sejak Ogos, IMF menganggap mata wang yang terlalu dikawal ketat itu layak menyertai mata wang elit global.

Bagaimanapun, pakar-pakar IMF awal November berkata, langkah perlu yang diambil oleh Beijing agar yuan dapat ‘digunakan secara bebas’ telah membuka jalan kepada keputusan hari ini.

Lagarde berkata, kemasukan yuan dalam bakul elit dijangka membantu China menjadi lebih terbuka lagi kepada ekonomi dunia.

“Kesinambungan dan pengukuhan usaha-usaha ini akan membawa sistem monetari dan kewangan antarabangsa yang lebih mantap, dan seterusnya akan menyokong pertumbuhan dan kestabilan China dan ekonomi global,” katanya.

Penurunan nilai yuan yang tidak dijangka Ogos lepas menerima markah yang baik daripada IMF ketika negara itu mengembangkan pergerakan mata wang mereka berdasarkan kuasa pasaran.

Di samping itu, pengumuman Beijing minggu lalu untuk kumpulan awal bank pusat asing yang dibenarkan memasuki pasaran mata wang China, mungkin akan menggalakkan pengantarabangsaan lagi yuan dalam perdagangan global.

Anggota IMF boleh menggunakan bakul elit SDR untuk mendapatkan mata wang bagi memenuhi keperluan imbangan pembayaran.

Dana ini juga mengeluarkan pinjaman krisis – penting untuk ekonomi bergelut seperti Greece – dalam nilai SDR. Kemasukan yuan ke rizab itu berkuat kuasa pada 1 Oktober 2016.