RnR M’sia bakal dibina di Lubnan

RnR M’sia bakal dibina di Lubnan

BEIRUT, 14 Sept – Sebuah kawasan pertumbuhan ekonomi baharu berkonsepkan Rehat dan Rawat (RnR) Malaysia akan dibina di kawasan misi pengaman dekat sini oleh pasukan pengaman negara Malbatt 850-4.

Difahamkan, kawasan perniagaan dalam daerah Ma’rakah, kira-kira 80 km dari bandar Beirut itu bakal dinamakan Pasar Malaysia.Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata kemudahan itu dijangka akan dibina pada tahun depan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.

“Untuk pasukan 850-4, kita akan cuba membangunkan ruang niaga di sini melalui Unit Jurutera Letrik dan Jentera (JLJ) kita. Perbincangan akan dilakukan dengan pihak datuk bandar tempatan sebelum dimuktamadkan.

“Ini secara tidak langsung akan meningkatkan peluang berniaga kepada penduduk. Tempat-tempat yang ada ketika ini berselerak. Contohnya gerai buah tidak tersusun, kebersihan tidak ada. Jadi kita cuba buat konsep RnR atau pasar malam seperti di Malaysia. Ini cara untuk mendekatkan pengaman dengan masyarakat,” katanya kepada wartawan Bernama dan RTM pada lewat petang Selasa.

Mohd Johari dalam pada itu berkata pasukan pengaman turut mendapat tempat di hati masyarakat tempatan melalui kerjasama awam-tentera (Cimic) melibatkan bantuan pendidikan, latihan kemahiran, dan bantuan perubatan.

Mengulas lanjut mengenai aspek perubatan, beliau berkata ia melibatkan pemeriksaan kesihatan dan pergigian, di mana-mana doktor pengaman akan turun padang dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti berhampiran kem penugasan, seperti yang termaktub dalam operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

“Kita telah menambah dua kepada empat doktor khusus untuk masyarakat setempat. Pemeriksaan kesihatan untuk kes-kes tertentu akan dirujuk ke hospital berdekatan atau dibawa ke hospital Unifil,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA