Roberto Martinez tak serik aksi Eropah

Roberto Martinez tak serik aksi Eropah

SINGAPURA, 15 Julai – Pengurus Everton Roberto Martinez mengaku kekecewaan kempen musim lalu sedikit sebanyak berpunca daripada kemaraan mereka ke kelompok 16 pasukan terakhir Liga Europa tetapi pengendali Sepanyol itu masih belum serik untuk sekali lagi membimbing pasukannya ke kejohanan sama musim depan.

Pada musim pertamanya di Merseyside, Everton menamatkan saingan di kedudukan kelima tetapi terperosok ke bawahan liga sebelum menamatkan saingan di kelompok 11 teratas selepas tersingkir di tangan Dynamo Kiev pada saingan Liga Europa.

“Jika anda bertanya adakah aksi di Liga Europa memberi kesan kepada persembahan kami di liga, jawapannya sudah tentu ya,” kata Martinez.

“Adalah berbeza jika anda setiap musim bermain di Eropah berbanding pasukan yang jarang berpeluang,” katanya lagi.

“Secara psikologinya, ia sangat sukar… kami terpaksa berlepas ke Rusia pada hari Khamis dan kembali esok petang sebelum bertemu pasukan lain di liga tempatan sehari kemudian. Keadaan itu membuatkan fizikal pemain keletihan.

Roberto Martinez bercakap dalam satu sidang akhbar untuk kejohanan Trofi Barclays Asia di Singapura semalam - AFP
Roberto Martinez bercakap dalam satu sidang akhbar untuk kejohanan Trofi Barclays Asia di Singapura semalam – AFP

“Ia adalah antara pengajaran yang kami terima, kami sudah matang dan kami pasti lebih baik. Eropah tetap menjadi sasaran kami. Kami tidak mahu melepaskan peluang bermain di peringkat itu.

“Musim ini pasti lebih sukar. Mungkin terdapat lima pasukan bersaing untuk memenangi liga manakala tiga atau empat pasukan lagi mahu ke Eropah. Justeru, ia semakin sukar tetapi ia adalah antara sasaran kami musim depan.”

Martinez membawa masuk beberapa pemain baru untuk mengukuhkan pasukan menjelang aksi musim depan.

“Kami sedang cuba membina pasukan dan ada kalanya anda perlu berbelanja besar untuk mendapatkan pemain yang anda kehendaki,” katanya. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA