Robinho sertai liga China

Robinho sertai liga China

SAO PAULO, 1 Julai (AFP) – Penyerang veteran Brazil, Robinho mengesahkan akan meninggalkan kelab Brazil, Santos dan beraksi di China untuk kelab yang dilatih Luiz Felipe Scolari.

Santos berkata, kelab itu tidak dapat menyaingi tawaran yang dibuat penyerang berusia 31 tahun itu, termasuk dari kelab antarabangsa.

Robinho pula berkata, adalah agak menyedihkan Santos tidak dapat memperbaharui kontraknya namun kelab itu sentiasa di hatinya.

Media Brazil melaporkan, Robinho sudah mencapai persetujuan untuk menyertai kelab Guangzhou Evergrande di Liga Super China (CSL) dengan bayaran tahunan AS$13.3 juta.

Namun butiran perjanjian tidak didedahkan dengan rasmi oleh kelab itu. Laporan itu muncul sehari selepas Santos mengumumkan bahawa pemain tengah Brazil, Paulinho akan keluar dari Tottenham untuk menyertai Evergrande dengan bayaran AS$15.5 juta.

Robinho tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo 28 Jun lalu selepas Brazil tewas kepada Paraguay dalam aksi Copa America. – Reuters
Robinho tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo 28 Jun lalu selepas Brazil tewas kepada Paraguay dalam aksi Copa America. – Reuters

Scolari, bekas pengendali Brazil dan menjulang Piala Dunia 2002 juga terlebih dahulu diambil Evergrande untuk melatih kelab itu, bulan lalu.

Sejak dibeli oleh satu kumpulan syarikat hartanah gergasi China, Evergrande pada 2010, Guangzhou dilaporkan banyak berbelanja untuk menjadi pasukan berkaliber dan memburu trofi.

Sebelum ini, kelab itu dikendalikan oleh bekas jurulatih yang mendakap Piala Dunia, termasuk bekas kapten Itali, Fabio Cannavaro dan bekas jurulatih Itali, Marcello Lippi.

Ini termasuk mendapatkan khidmat pemain dengan bayaran mahal seperti pemain Argentina, Dario Conca dan pemain antarabangsa Brazil, Ricardo Goulart, yang menandatangani kontrak tahun ini dengan rekod perpindahan CSL AS$16.2 juta.

Pada 2013, Guangzhou menjadi kelab pertama China muncul juara Liga Kejuaraan Asia.

Robinho kembali semula dalam kancah bola sepak tempatan Brazil tahun lalu menerusi pinjaman oleh AC Milan.

Dia juga beraksi untuk skuad Brazil pada 2006 dan Piala Dunia 2010 manakala bulan lalu untuk kejohanan Copa America yang menyaksikan Brazil tersingkir selepas tewas kepada Paraguay pada aksi suku akhir.

ARTIKEL YANG SAMA