Robot mampu ‘baca’ emosi

LAS VEGAS, 11 Jan – Sejenis robot yang dikenali sebagai Forpheus bukan sahaja boleh bermain permainan pingpong, tetapi turut berkemampuan membaca isyarat badan dengan mengukur keupayaan lawannya, mampu menawarkan nasihat dan memberi dorongan.

“Ia akan cuba memahami sikap dan keupayaan pemain dan meramal pukulan berikutnya,” menurut Keith Kersten dari Omron Automation yang berpangkalan di Jepun, yang membangunkan Forpheus untuk menunjukkan teknologinya.

“Kami tidak menjual robot pingpong akan tetapi kami menggunakan Forpheus untuk menunjukkan bagaimana teknologi itu bekerja dengan orang ramai,” menurut Kersten.

Forpheus adalah antara alat peranti yang dipamerkan semasa Pameran Elektronik Pengguna (CES) minggu ini yang menyerlahkan bagaimana robot boleh meniru manusia dengan memperoleh ‘kecerdasan emosi’ dan empati.

Walaupun pengkhususan ini sedang meningkat, tanggapan empati robotik kelihatannya menjadi tema utama semasa perhimpunan teknologi profesional yang terbesar di Las Vegas.

Seorang pengunjung bermain pingpong bersama robot Forpehus semasa Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas, semalam. – AP

Honda, syarikat gergasi kereta Jepun, melancarkan program robotik terbarunya yang dipanggil ‘Kuasa, Pengalaman, Empati’ termasuk robot 3E-A18 yang terbaru yang “menunjukkan reaksi belas kasihan terhadap manusia dengan pelbagai ekspresi wajah,” menurut satu kenyataan.

Sungguhpun empati dan keupayaan emosi tidak diperlukan dalam robot berbentuk manusia, sesetengah pembina robot telah berusaha membentuk dan membuatkannya berfungsi.

“Kami telah berusaha keras untuk menghasilkan robot yang memiliki emosi,” beritahu Jean-Michel Mourier dari Blue Frog Robotics yang berpangkalan di Perancis, yang menghasilkan robot sosial yang menjadi peneman dipanggil sebagai Buddy, yang akan dikeluarkan pada tahun ini. – AFP