Robot mini mula kerja

Robot mini mula kerja

TAIPEI, 6 Okt – Sekutu baru berkilat menyertai tenaga kerja di Taiwan hari ini – sekumpulan robot kecil kesemuanya bernama ‘Pepper’, telah diambil berkhidmat meraikan pelanggan dan membuat jualan langsung.

Pepper yang bertutur bahasa Cina telah diperkenalkan di dua buah bank dan sebuah syarikat insurans di bandar Taipei, menari ikut irama muzik, bermain dengan kanak-kanak di lobi dan mengetuai sesi aerobik kakitangan.

Robot-robot putih kenit direka untuk memuji-muji para pelanggan yang berbaris dengan mengatakan ‘Saya berbesar hati’.

Mahir dalam perhubungan awam, mereka meneka umur pelanggan pada lebih rendah dari yang sebenar.

Kemudian mereka mula bertindak, dengan memberikan maklumat tentang produk kewangan dan menggalakkan para pelanggan untuk melayari laman sesawang syarikat dan menemui kakitangan jualan bagi mendapatkan maklumat.

Seorang lelaki melihat robot bernama Pepper semasa sidang media yang dianjurkan oleh Cathay Financial Holdings di Taipei pada 6 Oktober. – AFP
Seorang lelaki melihat robot bernama Pepper semasa sidang media yang dianjurkan oleh Cathay Financial Holdings di Taipei pada 6 Oktober. – AFP

Cathay Life Insurance, syarikat insurans terbesar di Taiwan, memperkenalkan Pepper pertamanya ke cawangannya di Taipei hari ini.

Firma itu merancang untuk memiliki 10 robot di seluruh pulau itu, tetapi menekankan Pepper bertujuan untuk menambah rakan sekerja manusianya, bukan meminggirkan para pekerja manusianya.

“Kami berharap ia boleh melakukan lebih pada masa akan datang, tetapi pasti tidak akan menggantikan kakitangan kami,” ujarnya.

Mempunyai ketinggian 120 sentimeter, robot itu adalah yang kali pertama diperkenalkan oleh pembawa bergerak Jepun SoftBank pada tahun 2014, yang anggota Perancisnya, Aldebaran telah memajukan teknologi itu.

Pepper memiliki wajah bermata besar dengan badan plastik berwarna putih, beroda dan apa yang dilihat seperti komputer tablet berada di bahagian dadanya yang memaparkan namanya.

Robot-robot itu telah pun diperkenalkan di tempat-tempat kerja lain seluruh dunia, termasuklah di Jepun dan Perancis. – AFP