Rodgers amat kecewa

Rodgers amat kecewa

LONDON, 6 Okt (AFP) – Brendan Rodgers mengakui amat kecewa apabila dipecat sebagai pengurus Liverpool namun tetap memberi penghormatan kepada pemain, kakitangan dan penyokong kelab itu.

“Ya saya, itu semestinya, (saya) amat kecewa apabila terpaksa meninggalkan Kelab Bola Sepak Liverpool,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Persatuan Pengurus Liga (LMA), badan yang mewakili pengurus bola sepak di England.

“Ia satu penghormatan dan keistimewaan untuk mengurus salah satu kelab terhebat untuk tempoh tiga tahun,” katanya.

Rodgers, 42, melonjakkan prestasi Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada musim 2014, namun mereka berada di kedudukan keenam tahun lalu. Untuk musim ini, Liverpool di tangga ke-10 liga dengan hanya mengutip 12 mata daripada lapan perlawanan.

Dia dipecat selepas berkhidmat selama tiga tahun dan lapan bulan dengan pemilik kelab Liverpool, Fenway Sports Group (FSG) mengumumkan penyingkirannya beberapa jam selepas seri 1-1 dengan Everton di Merseyside.

Rodgers mengakui amat kecewa apabila dipecat sebagai pengurus The Reds. – Reuters
Rodgers mengakui amat kecewa apabila dipecat sebagai pengurus The Reds. – Reuters

“Saya bekerja setiap hari untuk memastikan kelab ini sentiasa menjadi yang terbaik mengikut kemampuan saya, membangunkan pemain dan pasukan agar kelab yang mempunyai penyokong yang hebat ini berbangga sesuatu,” kata Rodgers.

“Terdapat beberapa saat yang diingati sepanjang saya bersama Liverpool dan saya mahu menyatakan terima kasih saya kepada semua pemain yang bekerja keras dan penuh komitmen.

“Skuad yang ada sekarang masih dalam proses peralihan namun ada di antara mereka memiliki bakat yang sebenar dan menunjukkan semangat untuk bersama dalam pasukan.

“Saya mahu mereka terus berkembang dan maju dalam minggu-minggu di hadapan ini dan saya berdoa kepada pengganti saya dan pemain agar berjaya sepanjang musim ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA