Rodgers cuba atasi Guardiola

Rodgers cuba atasi Guardiola

LONDON 28 Sept – Jurulatih Celtic Bren-dan Rodgers akan menggunakan segala kebijaksanaan untuk pertemuan Liga Juara-Juara esok menentang orang yang paling banyak mempengaruhi falsafah bola sepaknya iaitu Pep Guardiola yang kini membimbing Manchester City.

Sama ada ketika membimbing Swansea City, Liverpool atau Celtic, Rodgers telah berusaha untuk meniru gaya permainan bola sepak yang diterapkan Guardiola ketika dia mula-mula melatih Barcelona dan kemudian Bayern Munich.

“Saya amat menyanjunginya (Guardiola) sejak dahulu dan amat suka melihat permainan bola sepak moden yang digunakan oleh Guardiola.

“Dia amat mencintai bola sepak dan dia adalah seorang ketua yang hebat malah ideanya memberikan keyakinan kepada semua orang,” kata Rodgers.

Rodgers ketika ini dalam usaha untuk memperbaiki reputasinya bersama Celtic terutama selepas dipecat oleh Liverpool pada tahun lalu dan skuad baharu bimbingan Rodgers sebelum ini dimalukan dengan kekalahan 7-0 oleh Barcelona dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C.

Jose Mourinho memberi Rodgers pendedahan pertama dalam bola sepak profesional apabila menjemput beliau bekerja di akademi Reading dan kemudian menyertai beliau di Chelsea pada tahun 2004.

Tetapi musuh Mourinho, Guardiola pula yang menjadi contoh kepada Rodgers dan di tanah kelahiran jurulatih dari Sepanyol itulah idea-ideanya tentang bagaimana untuk bermain dalam bola sepak gayanya mula terbentuk.

Sementara itu, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Rodgers juga mendapat perhatian Guardiola menjelang perlawanan di Stadium Celtic Park, Glasgow itu.

“Saya tidak rasa perlu meragui kualiti Brendan. Dia semakin hampir untuk memenangi Liga Perdana Inggeris ketika bersama Liverpool malah mempunyai banyak pengalaman,” kata Guardiola bulan lalu. – AFP