Rodgers masih yakin

Rodgers masih yakin

LONDON, 2 Okt (AFP) – Brendan Rodgers menegaskan belum masanya untuk menekan butang panik sekalipun Liverpool terus mempamer kemerosotan terbaru sekadar seri 1-1 bertemu kelab Switzerland, FC Sion dalam kempen Liga Europa, awal pagi tadi.

Pada aksi di Anfield itu, Liverpool terlebih dulu di depan menerusi jaringan Adam Lallana namun terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas Ebenezer Assifuah menyamakan kedudukan buat pelawat pada babak pertama.

Keputusan seri menyaksikan The Reds mensia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan Rodgers yang sedang dihimpit tekanan kemudian diejek penyokong Kop sejurus perlawanan berakhir.

Sedar kepentingan pertembungan tetangga Merseyside bertemu Everton yang dijadualkan Ahad ini, Rodgers tahu dia akan terus dikritik namun kekal tenang dalam usaha membawa Liverpool kembali ke landasan yang sebenar.

“Kami satu mata di belakang Everton. Saya tahu media dan akhbar sedang menulis laporan mengenai perlawanan ini namun kami kekal bertenang,” kata Rodgers.

“Saya sedang menikmati kerja ini, ia adalah cabaran yang hebat dan adalah kerja yang membina sekali lagi.”

Liverpool hanya menang sekali daripada lapan perlawanan terakhir dalam semua kejohanan dan rekod itu jelas memberi tekanan berlebihan menjelang aksi bertemu Everton.

Pada aksi bertemu Sion, Rodgers tidak menurunkan beberapa pemain utamanya termasuk penyerang, Daniel Sturridge dengan penggantinya, Divock Origi gagal menggunakan peluang yang diberikan kepadanya.

“Dengan cara ini, kita dapat tahu mengenai pemain seperti Divock Origi serta pemain yang jarang diturunkan,” kata Rodgers.

“Mereka akan menjadi sesuatu yang penting kepada kami bagi perlawanan seperti ini. Divock bermain dengan baik namun dia tidak menjaringkan gol namun dia meningkatkan permainannya.

“Kami akan pergi ke perlawanan menentang Everton dan fokus kepada prestasi kami. Semua pemain juga meletakkan sasaran yang sama. Saya tidak pernah tewas perlawanan tetangga dan mereka sentiasa perlawanan yang baik.”

ARTIKEL YANG SAMA