Rodgers puji Luis Suarez

Rodgers puji Luis Suarez

BARCELONA, 13 Sept – Jurulatih Celtic, Brendan Rodgers, memuji bekas pemain yang pernah dilatihnya ketika di Liverpool, Luis Suarez sebagai ‘penyerang terhebat’ menjelang pertembungan pasukannya dengan Barcelona dalam aksi Kumpulan C Liga Juara-Juara, di sini, awal pagi esok.

Rodgers sebelum ini pernah melatih pemain Uruguay itu ketika berada di Anfield pada tahun 2012 hingga 2014.

Suarez menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris selain menerima anugerah pemain terbaik oleh Persatuan Bola Sepak Profesional dan Penulis Sukan ketika musim terakhirnya bersama Liverpool.

Penyerang itu kemudiannya membantu Barca meraih tiga trofi pada kempen pertamanya bersama kelab berkenaan selain meledak 40 gol dalam La Liga.

“Pada masa ini, Luis adalah penyerang terbaik di dunia, tidak ada keraguan mengenainya.

“Penghargaan terbesar yang kamu boleh berikan kepadanya ialah dia menjadikan pasukan terbaik di dunia menjadi lebih hebat. Barcelona tidak akan menjadi sebuah pasukan seperti hari ini tanpanya.

“Apabila kamu bercakap mengenai Suarez, kamu juga perlu bercakap mengenai dirinya. Dia seorang yang senang didekati, merendah diri dan bekerja keras dalam kerjaya dan juga keluarganya.

Brendan Rodgers dalam sesi sidang media menjelang perlawanan di antara pasukannya dan Barcelona. – AFP
Brendan Rodgers dalam sesi sidang media menjelang perlawanan di antara pasukannya dan Barcelona. – AFP

“Untuk menyekatnya adalah sesuatu yang sangat sukar. Seperti mana pemain berkelas dunia yang lain, mereka sentiasa menemui ruang. Jadi, apa yang terbaik boleh kamu lakukan ialah menafikan ruang itu dengan menjadi agresif,” katanya.

Kedua-dua pasukan bakal menyertai perlawanan dengan motivasi berbeza selepas Barcelona tewas mengejut kepada pendatang baharu La Liga, Alaves, Sabtu lalu, manakala Celtic pula menewaskan seteru Rangers 5-1. – AFP