Rodgers tangisi nasib Liverpool

Rodgers tangisi nasib Liverpool

LONDON, 30 April – Pengurus Liverpool Brendan Rodgers enggan menafikan peluang mereka berakhir dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas kecundang 0-1 di tangan Hull City, awal pagi semalam.Bagaimanapun, jelas beliau sudah merencanakan usaha memantapkan skuadnya menjelang musim depan.

Rodgers pasti sedar impian layak ke Liga Juara-Juara berkecai kerana mereka ketinggalan tujuh mata berbanding pasukan tangga keempat, Manchester United dengan perbezaan jaringan lebih kecil dan baki empat perlawanan.

Tempat ke Liga Europa pun belum pasti lagi, sekali gus menyaksikan kenapa Rodgers amat tertekan selepas gagal menangani ketiadaan Luis Suarez dan kecederaan Daniel Sturridge, dua pemain yang banyak menyumbang gol buat Liverpool musim lalu.

“Anda tidak boleh sembunyikan fakta kami hilang lebih 50 gol. Malah, dengan pemain itu kami tidak diramal berada dalam kelompok empat teratas dan tidak memiliki pemain itu sekarang. Kami perlu bekerja dengan pemain yang ada,” kata Rodgers.

“Kini kami perlu berusaha meningkatkan skuad dan pasti hebat jika boleh mendapat khidmat pemain ternama yang boleh membantu. Pemilik kelab akan menyokongnya. Kami mahu berada dalam kelompok empat teratas, tapi ia sering sukar kerana persembahan kami turun naik sepanjang musim.

“Kami kalah beberapa perlawanan besar yang menjejaskan sedikit keyakinan. Saya perlu membentuk pasukan yang boleh melalui semua ini. Kami perlukan sebuah pasukan yang boleh bertahan dalam keadaan senang dan sukar.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA