Rodriguez selamatkan Colombia

Rodriguez selamatkan Colombia

MONTEVIDEO, 13 Nov (AFP) – Bintang Real Madrid, James Rodriguez kembali menyamakan kedudukan untuk Colombia semasa menentang Chile semalam, dan pertemuan yang lama di tunggu–tunggu di antara Argentina dan Brazil dibatalkan kerana hujan lebat.

Rodriguez, yang terlepas dua aksi kelayakan Piala Dunia 2018 Colombia bulan lalu kerana kecederaan, menjaringkan gol pada minit ke-68 bagi membantu pasukannya mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang juara Copa America di Santiago.

Chile yang lama mendominasi tetapi bergelut untuk menembusi pertahanan Colombia, mendahului pada akhir separuh masa pertama menerusi tandukan Arturo Vidal.

Dalam perlawanan lain semalam, Ecuador menewaskan Uruguay 2-1 untuk mengekalkan rekod 100 peratus mereka bagi kempen kelayakan selepas tiga perlawanan. Ecuador yang mengejutkan Argetnina di Buenos Aires bulan lalu, menyelamatkan tiga mata melalui jaringan kemenangan Fidel Martinez pada separuh masa kedua.

James Rodriguez menjaringkan gol semasa menentang Chile di Santiago semalam untuk kelayakan Piala Dunia 2018 Kumpulan Amerika Selatan. – AFP
James Rodriguez menjaringkan gol semasa menentang Chile di Santiago semalam untuk kelayakan Piala Dunia 2018 Kumpulan Amerika Selatan. – AFP

Uruguay, yang kehilangan Luis Suarez yang masih menjalani penggantungan kerana menggigit Giorgio Chielini dari Itali pada Piala Dunia 2014 – bergelut untuk membendung Ecuador yang selesa dalam cabaran udara tipis Andean di Quito, sekitar 9,000 kaki di atas paras laut.

Ecuador mendahului pada minit ke-23 menerusi penyerang Espanyol Fleipe Caicedo apabila dengan tenang menyudahkan hantaran lintang Juan Paredes dari sudut kanan.

Tetapi Uruguay menyamakan kedudukan empat minit selepas separuh masa pertama melalui aksi penyerang Paris Saint-Germain Edinson Cavani yang membuat tandukan dari sepakan percuma Nicolas Lodeiro.

Tetapi Ecuador mendapatkan kembali pendahuluan 10 minit kemudian melalui rembatan Martinez.

Penyerang Swansea City, Jefferson Montero menjadi pemangkin, meluru dari sudut kiri dan melepaskan rembatan kencang ke arah Fernando Muslera.