Roger Federer cari tonik Wimbledon di Halle

Roger Federer cari tonik Wimbledon di Halle

HALLE, Jerman, 15 Jun (AFP) – Roger Federer yang memulakan usahanya untuk merangkul kejuaraan Wimbledon kelapan dalam persekitaran Halle yang biasa semalam mengakui dia masih terkejut dengan kejayaan mengejutkan di atas rumput.

Pemain berusia 33 tahun itu memerlukan satu lagi kemenangan Wimbledon untuk mengatasi Pete Sampras yang juga menang di All England Club dalam tujuh pertandingan.

Ketika membuat persediaan memburu gelaran kelapan di Halle, Federer berkata rekod kerjayanya dengan 14 trofi gelanggang rumput – lebih daripada mana-mana pemain aktif yang lain – masih lagi kejutan kepadanya.

“Saya tidak pernah terfikir dapat bermain dengan baik dalam kerjaya saya di atas rumput. Bermain tenis yang baik di atas rumput merupakan impian setiap pemain,” katanya kepada pemberita semalam.

“Tempat saya dibesarkan di Switzerland hanya terdapat pasir, permaidani atau kotoran. Oleh itu, gelanggang rumput kerap menjadi impian kami.”

Mahkota Wimbledon terakhir Federer dirangkulnya pada 2012 dan beliau muncul naib juara kepada Novak Djokovic tahun lepas. Jika beliau merangkul gelaran kelapan di London bulan depan, beliau akan menjadi juara tertua kejohanan era moden, mengatasi Arthur Ashe yang masih yang kurang sebulang sebelum hari jadi ke-32 ketika menang pada 1975.

“Pada peringkat ini saya ingin memiliki persediaan yang sempurna untuk Wimbledon,” kata Federer, yang memulakan kempen Halle menentang pemain Jerman, Philipp Kohlschreiber hari ini. “Itu bermakna kemenangan. Saya mahu mempertahankan gelaran dalam lapangan yang sukar bagi para pesaing. Itulah apa yang saya perlukan,” pemain nombor dua dunia itu memberitahu www.atpworldtour.com.

Federer adalah pilihan utama di Halle dengan Kei Nishikori dari Jepun adalah pilihan dua dan Tomas Berdych menjadi pilihan ketiga.