Roger Federer sasar gelaran ketujuh

LONDON, 13 Nov – Jaguh tenis Switzerland, Roger Federer memulakan misi menutup tahun gemilangnya bagi menjulang gelaran ketujuh Jelajah Akhir ATP dengan langkah kanan apabila menewaskan Jack Sock 6-4, 7-6 (7/4) semalam.

Empat bulan selepas menjuarai Wimbledon untuk kali kelapan, Federer kembali ke London untuk melengkapkan musim cemerlangnya dengan gelaran di O2 Arena.

Sewaktu Federer terlepas aksi Jelajah Akhir susulan kecederaan tahun lepas, peluangnya untuk kembali ke era gemilangnya dilihat turut kabur.

Dia melangkah ke musim 2017, terlepas aksi hampir separuh musim berikutan isu kecederaan dan gagal meraih sebarang Grand Slam sejak 2012.

Namun pemain berusia 36 tahun itu dia menikmati kebangkitan menakjubkan dengan menjuarai Terbuka Australia dan Wimbledon di antara tujuh gelaran yang dikecapinya, lebih daripada mana-mana pemain lelaki dalam tempoh 11 bulan.

Roger Federer ketika membalas pukulan Jack Sock dari AS di Jelajah Akhir ATP, London. – AP

Federer bagaimanapun masih belum mengecapi kejayaan di Jelajah Akhir sejak 2011. Namun selepas menewaskan Sock pada aksi pembukaan, pemain nombor dua dunia itu kini menang 11 perlawanan terakhirnya.

Prestasi cemerlangnya itu membolehkannya menjulang kejuaraan di Shanghai dan Basel dan dia berharap dapat mengekalkannya dengan menjuarai Jelajah Akhir hujung minggu hadapan.

Dengan juara bertahan Andy Murray, Novak Djokovic dan Stan Wawrinka semuanya tidak beraksi kerana cedera, Ferderer dan Rafael Nadal memang tidak dipertikaikan menjadi tumpuan utama. Dalam perlawanan lain, pemain bintang muda Jerman, Alexander Zverev telah membuktikan potensinya dengan menewaskan Marin Cilic, 6-4, 3-6, 6-4.

Zverev merupakan pemain termuda yang melayakkan diri ke Jelajah Akhir sejak Juan Martin del Potro pada tahun 2008, Zverev membuktikan kehebatannya dengan lima gelaran tahun ini. – AFP