Roger Federer tekad kekalkan kejuaraan

Roger Federer tekad kekalkan kejuaraan

BRISBANE, 3 Jan (AFP) – Roger Federer berazam untuk mengekalkan kejuaraan di Kejohanan Antarabangsa Brisbane bagi melakar permulaan yang baik pada musim baharu 2016.

Juara 17 kali Grand Slam dari Switzerland itu tiba di Australia hari ini dengan kejohanan dijadual bermula esok sebagai medan pemanas badan ke Terbuka Australia di Melbourne bulan ini.

Federer, 34, yang meraih enam gelaran termasuk Brisbane tahun lalu selain mara ke pentas final Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat, dijadual berdepan pemain nombor lapan dunia, Kei Nishikori, Milos Raonic (14 dunia) dan Grigor Dimitrov pada kejohanan di Brisbane, tahun ini.

“Saya bermain dengan sangat baik untuk tempoh satu setengah tahun ini – sejak saya kembali daripada kecederaan belakang pada 2013.

“Ia sesuatu yang amat menggalakkan dan sekarang ini saya perlu lebih berkeyakinan berbanding tahun sebelum ini.”

Roger Federer tekad untuk mengekalkan kejuaraan Kejohanan Antarabangsa Brisbane. – Reuters
Roger Federer tekad untuk mengekalkan kejuaraan Kejohanan Antarabangsa Brisbane. – Reuters

Kali terakhir Federer merekodkan Grand Slam ke-17 miliknya adalah di Wimbledon 2012 dan dia percaya masih ada lagi gelaran major yang bakal muncul buat dirinya.

Novak Djokovic menguasai musim lalu dengan tiga gelaran major dan tatkala menunggu gelaran ke-18, Federer berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan secara lebih mendalam.

“Saya sangat hampir, saya bermain dengan bagus tetapi saya tidak berasa kecewa,” katanya. “Saya masih gembira dengan cara permainan saya. Ia adalah tahun Novak, dia bermain sangat baik.

“Amat tidak bernasib baik buat saya tetapi pada masa sama, saya tidak berasa sedih. Saya sudah banyak meraih kemenangan di sepanjang karier, saya rasa seperti sekiranya saya terus berusaha ia akan muncul. Sekiranya tidak, ia juga tidak mengapa.”

ARTIKEL YANG SAMA