Rogerio bersara

Rogerio bersara

SAO PAULO, 10 Dis – Kelibat Rogerio Ceni, penjaga gol yang merekodkan jaringan terbanyak dalam sejarah pasti akan dirindui kelab Brazil Sao Paulo selepas dia mengumumkan persaraan, sebentar tadi.

Ceni, pakar sepakan percuma dan penalti untuk Sao Paulo, menjaringkan 131 gol sepanjang karier profesionalnya selama 25 tahun – jauh lebih banyak berbanding penjaga gol lain.

Pemain veteran 42 tahun itu cuba melengahkan persaraannya selagi termampu, tetapi akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak pada perlawanan Ahad lalu yang mana dia tidak boleh beraksi susulan masalah kecederaan.

Dia akan membuat kepulangan ke Stadium Morumbi esok, untuk perlawanan pertunjukan sebagai tanda selamat tinggal dan ia akan disertai sebahagian besar bekas legenda Sao Paulo.

Sejurus berakhir aksi berkenaan dia akan menggantung but. Namun kedua-dua – jaringan gol dan aksi menyelamat – dia akan terus kekal dalam video YouTube, dan di hati peminat Sao Paulo.

Pakar sepakan percuma dan penalti, Ceni, mengakhiri karier profesionalnya selepas 25 tahun. – Reuters
Pakar sepakan percuma dan penalti, Ceni, mengakhiri karier profesionalnya selepas 25 tahun. – Reuters

Ceni tiba di Sao Paulo pada 1990 ketika berusia 17 tahun selepas disunting daripada pasukan bawahan Sinop yang terletak di sebuah bandar terpencil Mato Grosso. Dia sudah membuat 1,237 penampilan sejak daripada itu, mencipta rekod penampilan terbanyak bagi satu-satu pasukan.

Sepanjang kariernya, Ceni menjadi kapten kelab itu untuk tempoh 16 tahun, memenangi 26 gelaran – termasuk Piala Dunia Kelab FIFA, dua trofi Piala Libertadores dan tiga Kejuaraan Brazil.

Sentuhan jaringannya hadir menerusi 69 penalti, 61 sepakan percuma dan satu jaringan padang yang istimewa – sekali gus meletakkannya dalam senarai 10 penjaring terbanyak Sao Paulo. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA