Rogol anak saudara sendiri

Rogol anak saudara sendiri

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Seorang bapa saudara yang berdepan empat pertuduhan mencabul kehormatan dan merogol anak saudaranya menerima nasibnya, semalam, apabila dihukum penjara 10 tahun lapan bulan dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini.

Hukuman diputuskan Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain terhadap lelaki yang namanya tidak dapat didedahkan untuk melindungi identiti mangsa selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan.

“Mangsa berhadapan detik hitam sepanjang hidupnya kerana menjadi mangsa bapa saudara sendiri,” kata hakim sebelum menjatuhkan hukuman itu.

Berdasarkan fakta yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula, tertuduh merupakan adik kepada bapa mangsa.

Tertuduh berdepan dakwaan mencabul anak saudaranya yang ketika itu berusia 14 tahun dengan meraba bahagian atas badan, melakukan perbuatan yang tidak senonoh kepada mangsa dan juga cuba merogolnya.

pg06_160321_mahkamah logo

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu pada 22 Mei 2015 kira-kira jam 9 pagi di sebuah rumah di Daerah Tutong.

Selepas kejadian itu, mangsa memberitahu ibunya yang kemudian membuat laporan polis.

Polis ketika itu gagal mengesan tertuduh di mana dia hanya diberkas oleh polis pada 30 Januari 2016 selepas mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai keberadaannya.

Siasatan polis turut mendapati tertuduh pernah merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun pada 2013 di dalam sebuah kereta di kawasan Lamunin kira-kira jam 8 malam.

Dalam kejadian itu, tertuduh terdahulu menurunkan anak dan isterinya di bengkel kereta di Lamunin manakala dia membawa mangsa ke kedai berdekatan.

Tertuduh bagaimanapun telah memandu keretanya ke kawasan gelap dan merogol mangsa.

Sebelum mengambil semula anak dan isterinya di bengkel, tertuduh memberi amaran kepada mangsa untuk tidak memberitahu sesiapa.

ARTIKEL YANG SAMA