Rohingya didakwa bakar kampung mereka sendiri

BANGKOK, 7 Sept – Para pegawai keselamatan Myanmar hari ini membawa wartawan-wartawan ke kampung Rohingya yang masih membara di mana pegawai-pegawai berkata orang-orang Islam Rohingya membakar rumah dan kenderaan mereka sendiri.

Lembu dan anjing-anjing berkeliaran di perkampungan Ah Lel Than Kyaw yang ditinggalkan itu di utara negeri Rakhine apabila kira-kira 20 wartawan mengunjungi dengan ditemani berbelas orang pegawai polis sempadan.

Kira-kira 146,000 penduduk Rohingya di rantau itu telah melarikan diri ke negara jiran Bangladesh sejak dua minggu lalu. Pemberontak Rohingya dikatakan menyerang pos polis di kampung tersebut dan beberapa lagi pada 25 Ogos.

Pihak tentera pula berkata, hampir 400 orang, kebanyakan mereka digelar pemberontak telah terbunuh dalam pertempuran-pertempuran dan mereka telah menjalankan ‘operasi pembersihan’. Tentera menuduh pemberontak-pemberontak membakar kampung-kampung, namun puak Rohingya berkata mereka diusir oleh tentera-tentera dan perusuh Buddha yang menyerang mereka.

Pegawai polis setempat, Aung Kyaw Moe berkata 18 orang telah terbunuh dalam kampung itu.

Keadaan rumah yang hangus sepenuhnya. Pihak polis Myanmar mendakwa puak Rohingya membakar sendiri rumah-rumah mereka. – AFP

“Dari pihak kami, terdapat seorang pegawai imigresen terbunuh dan kami menemui 17 mayat dari pihak musuh,” katanya.

Beliau berkata, api-api itu dinyalakan pada 25 Ogos, meskipun beberapa daripadanya terus terbakar sehingga kini. Hampir semua bangunan di kampung itu dilihat oleh para wartawan telah dibakar, bersama kereta-kereta, motosikal-motosikal dan basikal-basikal yang ditinggalkan oleh penduduk kampung. Sebuah masjid juga rosak.

Beberapa kepulan asap boleh dilihat dari jauh dan bunyi tembakan dari jauh boleh didengar.

“Mereka membakar rumah-rumah mereka sendiri dan melarikan diri,” ujar Aung Kyaw Moe. “Kami tidak melihat siapa sebenarnya membakar bangunan-bangunan itu kerana kami perlu mengawal keselamatan pos-pos kami… Namun apabila rumah-rumah dibakar, hanya Benggali yang berada di kampung itu.”

Myanmar merujuk Rohingya sebagai Benggali, bermaksud mereka berhijrah secara haram dari Bangladesh, meskipun kebanyakan keluarga Rohingya telah tinggal di Myanmar bagi beberapa generasi. – AP