Rohingya mungkin mangsa jenayah kemanusiaan – Annan

Rohingya mungkin mangsa jenayah kemanusiaan – Annan

YANGON, 30 Nov – Penduduk Rohingya Myanmar mungkin mangsa jenayah kemanusiaan, kata agensi hak PBB semalam, tatkala bekas ketua PBB Kofi Annan tiba di negara itu untuk lawatan yang akan termasuk satu kunjungan ke utara Rakhine.

Tentera telah melancarkan tindakan keras di barat negeri dan beribu-ribu penduduk minoriti Islam telah membanjiri sempadan di Bangladesh pada bulan ini, mengeluarkan dakwaan tentang kes rogol berkumpulan, penyeksaan dan pembunuhan di tangan anggota keselamatan.

Kira-kira 30,000 orang telah melarikan diri dari rumah mereka dan analisis gambar satelit oleh Pemerhati Hak Asasi Manusia mendapati beratus bangunan di kampung Rohingya telahpun terbakar.

Myanmar menafikan dakwaan penderaan, berkata tentera sedang memburu “pengganas” di sebalik serangan ke atas pos polis pada bulan lalu.

Kerajaan telah mengecam laporan media tentang rogol dan pembunuhan, dan mengemukakan satu bantahan ke atas seorang pegawai PBB di Bangladesh yang berkata kerajaan sedang melancarkan “penghapusan etnik” Rohingya.

Pemimpin De Facto Myanmar Aung San Suu Kyi (kanan) dalam satu majlis di Singapura, kelmarin. Penduduk Rohingya Myanmar mungkin mangsa jenayah kemanusiaan, kata Kofi yang Annan melawat negara itu, baru-baru ini. – AFP
Pemimpin De Facto Myanmar Aung San Suu Kyi (kanan) dalam satu majlis di Singapura, kelmarin. Penduduk Rohingya Myanmar mungkin mangsa jenayah kemanusiaan, kata Kofi yang Annan melawat negara itu, baru-baru ini. – AFP

Wartawan asing dan penyiasat bebas telahpun diharamkan daripada memasuki kawasan tersebut untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

Semalam, YNHCR PBB berkata layanan Myanmar terhadap Rohingya mungkin bersamaan dengan jenayah ke atas kemanusiaan, mengulang hasil dapatan daripada laporan Jun.

Lebih daripada 120,000 penduduk Rohingya telahpun bersesak dalam kem sejak keganasan sektarian pada 2012, di mana mereka tidak diberikan kerakyatan, penjagaan kesihatan dan pendidikan dan pergerakan mereka dikawal ketat.

“Kerajaan telah gagal bertindak ke atas cadangan yang dikemukakan dalam laporan oleh Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, yang mengemukakan kemungkinan bahawa pola pencabulan ke atas Rohingya mungkin bersamaan dengan jenayah ke atas kemanusiaan,” kata OHCHR dalam satu kenyataan. – AFP