Rohingya: Perlu ubah dasar tidak campur tangan

Rohingya: Perlu ubah dasar tidak campur tangan

BANGI, 3 Jun (Bernama) – ASEAN perlu mengubah dasar tidak campur tangan isu dalaman negara anggotanya bagi menyelesaikan masalah penindasan etnik Rohingya di Myanmar, kata penganalisis.

Pensyarah Program Strategik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr D. Ravichandran berkata dasar tidak campur tangan telah menyekat pemimpin-pemimpin ASEAN untuk lebih berani bersuara kerana bimbang ia akan menggugat hubungan dalam kalangan negara anggota. Katanya sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin ASEAN tidak berselindung di sebalik dasar itu dan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap Myanmar bagi menyelesaikan isu Rohingya memandangkan masyarakat antarabangsa juga telah mengiktiraf perjuangan etnik itu.

“Disebabkan dasar yang diamalkan sejak sekian lama itu, ASEAN mengambil pendekatan lebih berlembut dengan membuat siri perbincangan yang saya lihat kurang berkesan bagi menyelesaikan isu ini.

“Saya juga tidak nampak bagaimana dengan lebih bertegas ia akan menyebabkan hubungan dalam kalangan negara ASEAN akan terjejas,” katanya sebagai anggota panel Bicara Persada ‘Rohingya: Hak Asasi dan Kemanusiaan yang Dinafikan’ anjuran Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, di sini Rabu.

Seorang lagi anggota panel, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Azmi Abdul Hamid turut menyatakan pendirian yang sama.

Katanya Myanmar ketika menjadi pengerusi ASEAN tahun lepas telah memilih tema ‘Bersatu Maju Ke hadapan Ke arah Komuniti Yang Aman dan Makmur’ namun ia tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan untuk melindungi etnik Rohingya. Justeru, katanya, ASEAN perlu mengambil tindakan yang lebih tegas memandangkan masalah yang ditimbulkan oleh negara itu telah melimpah ke negara lain di rantau ini.

“Myanmar tidak boleh kata ini isu dalaman dia kerana sekarang negara lain juga terlibat dalam isu ini. Kita juga tidak boleh nafikan bahawa orang Rohingya juga adalah warga ASEAN dan masalah mereka adalah masalah kita,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA