Roket SpaceX Falcon meletup

Roket SpaceX Falcon meletup

MIAMI, 2 Sept – Roket SpaceX Falcon tanpa pemandu meletup di landasan pelancaran ketika ujian di Florida semalam, memusnahkan satelit yang dirancang oleh Facebook untuk digunakan bagi memancarkan internet berkelajuan tinggi ke Afrika.

Letupan di Cape Canaveral – meskipun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan menandakan kegagalan bagi firma angkasa lepas swasta yang beribu pejabat di California dan juga pengasasnya, iaitu pengusaha internet Elon Musk, yang berhasrat merevolusikan industri lancar dengan menjadikan komponen roket boleh digunakan semula.

Rakaman yang disiarkan oleh ABC News menunjukkan roket meletup menjadi bola api akibat letupan berturut-turut mengakibatkan muatannya bergolek ke tanah ketika asap hitam tebal memenuhi udara.

Gambar fail bertarikh 6 April 2016 menunjukkan Roket SpaceX Falcon berlepas dari Kargo Dragon tanpa pemandu di pusat pelancaran Cape Canaveral, Florida. – AFP
Gambar fail bertarikh 6 April 2016 menunjukkan Roket SpaceX Falcon berlepas dari Kargo Dragon tanpa pemandu di pusat pelancaran Cape Canaveral, Florida. – AFP

“Kira-kira pukul 9:07 pagi ketika ujian standard sebelum pelancaran bagi misi Amos-6, kejanggalan berlaku pada Kompleks 40 Pelancar Angkasa Lepas Cape Canaveral, SpaceX yang mengakibatkan kemusnahan kenderaan itu,” menurut firma itu.

Letupan itu telah memusnahkan satelit perhubungan Israel yang dijangka dihantar oleh Falcon 9 ke orbit pada hari Sabtu – yang mengundang reaksi terkejut dari ketua Facebook, Mark Zuckerberg.

Dalam kontrak Facebook akan menggunakan Amos-6 untuk menyediakan liputan internet jalur lebar bagi kawasan-kawasan besar Selatan Gurun Sahara, Afrika dan kawasan-kawasan terpencil lain di dunia sebagai sebahagian dari usaha Internet.org, syarikat gergasi media sosial itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA