Rokok: Denda $190,000

Rokok: Denda $190,000

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Ogos – Mahkamah Majistret Kuala Belait, hari ini, telah menjatuhi hukuman denda $190,000 ke atas seorang lelaki tempatan selepas mengaku bersalah cuba menyeludup masuk secara haram sejumlah 393 karton rokok melalui Pos Kawalan Sungai Tujuh di sini.

Tertuduh, Mohd Kefli bin Haji Mohd diberikan tempoh enam bulan untuk menyelesaikan denda tersebut atau dipenjara selama 12 bulan.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh, 38, yang tidak mempunyai pekerjaan, pada 11 Ogos telah memandu kereta Toyota Innova dalam perjalanan dari Miri ke Brunei apabila ditahan oleh pegawai kastam yang bertugas untuk pemeriksaan dan berkata dia tidak mempunyai barangan untuk diisytiharkan.

pg06_150818_mahkamah logo

Bagaimanapun, apabila pemeriksaan dijalankan, pegawai kastam telah menemui hampir 4,000 bungkus rokok yang disimpan di bahagian but kereta dan di bawah alas kaki bahagian kerusi penumpang.

Semasa dihadapkan ke mahkamah, hari ini, Mohd Kefli mendakwa rokok-rokok itu adalah untuk tujuan dijual.

Majistret Kuala Belait telah mengarahkan supaya rokok-rokok dimusnahkan dan kereta yang digunakan untuk penyeludupan dikembalikan kepada ibu bapa defendan.