Rokok elektronik boleh sebab kanser

Rokok elektronik boleh sebab kanser

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Rokok elektronik, yang menjadi kegilaan ramai, didapati mengandungi bahan pengawet yang boleh membawa kepada kanser, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Beliau berkata antara bahan pengawet itu ialah nikotin dan propylene glycol, dan apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet.

“Ramai pengguna menghisap lebih daripada lima volt untuk mendapatkan asap yang banyak.

“Bahan pengawet itu boleh meningkatkan kemungkinan kepada kanser,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Isu itu dibangkitkan beberapa anggota Parlimen termasuk Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang menyatakan kebimbangan penggunaan rokok elektronik yang boleh menjurus kepada peningkatan penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berpendapat cadangan penubuhan Farmasi Rakyat 1Malaysia, yang dicadangkan Irmohizam dilihat praktikal berdasarkan kesesakan dialami kebanyakan farmasi di hospital kerajaan.

Beliau berkata ia memudahkan pesakit mendapatkan bekalan perubatan tanpa perlu ke hospital, terutama bagi kawasan pedalaman. – Bernama